Pengunjung bermain air di pantai Port Dickson, Negeri Sembilan walaupun ombak dijangka tinggi.
Pengunjung bermain air di pantai Port Dickson, Negeri Sembilan walaupun ombak dijangka tinggi.

Port Dickson: Orang ramai dimohon mengurangkan aktiviti riadah di empat pantai di daerah ini berikutan fenomena air pasang besar yang dijangka berlaku dengan ketinggian ombak 2.5 meter hingga 3.5 meter.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Port Dickson, Muhammad Isa Md Onzer berkata, fenomena itu bermula semalam dan dijangka melanda hingga Khamis ini.

Katanya, pengunjung diminta berwaspada sekiranya mengunjungi Pantai Bagan Pinang Batu 3, Pantai Saujana Batu 4, Pantai Telok Kemang Batu 8 dan Pantai Tanjung Biru Batu 10.

“Pengunjung juga diminta mematuhi arahan pihak berkuasa. Mereka perlu sentiasa peka dengan keadaan sekitar, tambahan pula ombak boleh mencecah ketinggian sehingga 3.5 meter.

“Anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) mengibarkan bendera merah di menara penyelamat pantai sebagai amaran supaya tidak melakukan aktiviti pantai.

“Perkara paling mustahak adalah pengunjung diminta berhati-hati, selain nelayan yang menggunakan bot kecil mengurangkan aktiviti di laut,” katanya.

Menurut beliau, setakat jam 3 petang semalam, air laut mulai pasang dan ombak bergulung kecil.

Katanya, pasukan penyelamat turut melakukan rondaan di pantai berkenaan.

“Pengunjung di sekitar daerah ini dilihat bertambah dan sebahagian besar mereka tertumpu di kawasan darat berbanding laut,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Oktober 2016 @ 5:12 AM