MARIA meriba bayinya dalam pesawat untuk dikejar ke HGM.
MARIA meriba bayinya dalam pesawat untuk dikejar ke HGM.
Ramli Ibrahim


Gua Musang: Bayi perempuan Orang Asli yang baru lapan hari dilahirkan terpaksa dikejarkan ke Hospital Gua Musang (HGM), di sini, menggunakan penerbangan ihsan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Ia berikutan bayi itu, Lisa Eleisa Andi dijangkiti kuning sejak dilahirkan di rumahnya di Pos Balar, di sini.

Penerbangan dikendalikan krew AW 139 Unit Udara JBPM yang berpangkalan di Bertam, Pulau Pinang tiba di Pos Balar pada jam 11.12 pagi semalam.

Pegawai Perhubungan Awam Pangkalan Udara JBPM, Siti Farizun Naim berkata, pihaknya menerima laporan permohonan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Gombak untuk penerbangan ihsan itu pada jam 10 malam kelmarin.

“Bagaimanapun, penerbangan hanya dapat dilakukan pagi ini (semalam) disebabkan cuaca yang tidak baik pada malam.

“Pesawat berlepas dari pangkalan udara di Bertam, Pulau Pinang pada jam 10.17 dan mengambil masa sejam untuk tiba di Pos Balar.

“Ketika pesawat mendarat di Pos Balar, bayi terbabit sudah bersedia bersama ibunya, Maria Alug, 19, dan ia tiba di pekarangan Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang jam 11.31 pagi sebelum dihantar ke HGM dengan ambulans,” katanya di sini, semalam.

Siti Farizun berkata, keadaan bayi itu yang kritikal menyebabkan rawatan ke atasnya perlu disegerakan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 September 2016 @ 8:14 AM