DUA lelaki yang ditahan kerana menceroboh sebuah unit PPR.
DUA lelaki yang ditahan kerana menceroboh sebuah unit PPR.
Mohd Fadly Samsudin

Kuala Lumpur: Dua penagih dadah menetap percuma di sebuah unit Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kerinchi di Lembah Pantai, di sini, selepas menceroboh kediaman itu.

Kediaman terletak di tingkat 11 berkenaan turut dijadikan ‘markas’ aktiviti dadah apabila pemeriksaan di sebuah bilik menemui beberapa alatan dipercayai untuk menghisap dadah.

Malah, dua lelaki itu turut menikmati bekalan elektrik percuma apabila melakukan penyambungan elektrik secara haram di rumah berkenaan.

Mereka antara lima individu ditahan dalam operasi Jabatan Pengurusan Perumahan dan Pembangunan Komuniti DBKL di PPR Kerinchi, tengah malam kelmarin.

Operasi bermula jam 9 malam itu dijalankan seramai 70 anggota Jabatan Pengurusan Perumahan dan Pembangunan Komuniti Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Turut sama adalah anggota dari Jabatan Penguatkuasaan DBKL, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Jabatan Undang-Undang dan Pendakwaan DBKL.

Timbalan Pengarah Kanan Jabatan Pengurusan Perumahan dan Pembangunan Komuniti DBKL Mohd Muzammer Jamaluddin berkata, 26 notis dikeluarkan sepanjang operasi kali keempat itu.

“Ini dilakukan kerana kesalahan penghuni tidak sah serta penyewa asal tidak menetap di kediaman berkenaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 September 2016 @ 5:34 AM