PASANGAN regu campuran negara menunjukkan pingat perak dimenangi mereka.
PASANGAN regu campuran negara menunjukkan pingat perak dimenangi mereka.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin berkongsi kisah di belakang tabir beregu campuran badminton negara, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying sehingga mampu meraih pingat perak Sukan Olimpik Rio, semalam.

Khairy dalam akaun Twitternya, menulis cerita penuh inspirasi gandingan itu yang menjejak podium daripada kedudukan ke-79 ranking dunia dalam tempoh setahun.

Beliau juga menulis usaha keras Liu Ying, yang menjalani penbedahan di kedua-dua lututnya untuk membaiki kerosakan ligamen dan tulang rawan pada 2014, selain melalui proses pemulihan yang menyiksakan selama 11 bulan.

Katanya, selepas pulih pemain kelahiran Melaka itu kembali digandingkan semula dengan Peng Soon dan memulakan persiapan untuk melayakkan diri ke Sukan Olimpik apabila pusingan kelayakan bermula pada 2015.

“Mereka menduduki ranking ke-79 ketika itu. Mereka bekerja keras dan menjalani latihan sepenuh hati.

“Liu Ying memberi tumpuan menguatkan kakinya, Peng Soon pula memperbaiki fokusnya. Mereka kemudian berjaya memperbaiki ranking dan akhirnya layak ke Rio,” katanya dalam Twitternya kira-kira lapan jam lalu yang kemudian di retweet oleh 10,000 pemilik akaun Twitter lain dan mendapat 3,600 ‘like’.

Khairy juga berkata tidak ramai yang yakin gandingan itu mampu melepasi lawan mereka di suku akhir, Robert Mateusiak-Nadiezda Zieba dari Poland yang ditundukkan mereka 21-17, 21-10 sebelum mencipta kejutan menjinakkan beregu nombor enam dunia dari China, Xu Chen-Ma Jin di separuh akhir.

“Kini mereka membuktikannya. Pingat perak. Nombor 79 setahun lalu, podium hari ini,” katanya.

Peng Soon-Liu Ying yang ketika ini menduduki ranking ke-11 dunia, tewas kepada juara dunia 2013 yang juga pasangan nombor tiga dunia, Tontowi Ahmad-Liliyana Natsir dari Indonesia 21-14, 21-12 dalam perlawanan akhir semalam.

Walaupun gagal menyumbang pingat emas pertama negara, pujian wajar diberikan kepada Peng Soon-Liu Ying yang berjaya mendapatkan pingat perak kedua negara di temasya Rio.

Setakat ini, Malaysia memungut dua perak dan satu gangsa di Sukan Olimpik Rio.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Ogos 2016 @ 9:25 AM