MIN Ho melayan permintaan peminat.
MIN Ho melayan permintaan peminat.

Kuala Lumpur: Lebih 1,000 peminat pelakon popular Korea Selatan, Lee Min Ho sanggup menunggu selama tiga jam semata-mata mahu bertemu dengan selebriti itu di pekarangan sebuah pusat beli-belah terkemuka di sini, petang semalam.

Hujan lebat yang bermula kira-kira jam 6 petang itu juga tidak mematahkan semangat peminat untuk terus menunggu ketibaan penyanyi dan model itu di depan pintu utama pusat beli-belah berkenaan.

Min Ho, 29, berada di ibu kota untuk majlis pelancaran sebuah restoran makanan Korea Selatan di pusat beli-belah itu.

Bintang drama bersiri The Heirs itu berkata, sikap rakyat Malaysia yang peramah membuatkan dia tidak jemu berkunjung ke negara ini.

“Terima kasih kepada peminat kerana sanggup berdiri dalam hujan untuk memberi sokongan kepada saya. Sudah tentu saya akan kembali ke Malaysia,” katanya dan disambut jeritan daripada peminat setianya.

Pada majlis itu, seramai 15 peminat bertuah yang juga pemenang peraduan di Facebook turut menerima cenderahati.

Ini kali keenam Min Ho datang ke Malaysia dan kali terakhir adalah untuk pelancaran portal membeli-belah dalam talian 11street di pusat beli-belah Nu Sentral, di sini, tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Mac 2016 @ 8:59 AM