MOHD Nazree (kiri)  dan Hazwan ditemui di perkarangan Mahkamah Tinggi Seremban,  semalam.
MOHD Nazree (kiri) dan Hazwan ditemui di perkarangan Mahkamah Tinggi Seremban, semalam.

Seremban: Mahkamah Tinggi, di sini, semalam mengarahkan bekas Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Rembau Badrul Hisham Shaharin atau Chegu Bard membayar ganti rugi RM50,000 kepada bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Negeri Sembilan kerana memfitnahnya pada 2014.

Chegu Bard diarah membayar RM40,000 kepada Mohd Nazree Mohd Yunus sebagai ganti rugi am dan RM10,000 sebagai ganti rugi teruk.

Peguam mewakili Mohd Nazree iaitu Hazwan Mohd Nor berkata, Hakim Datuk Zabariah Mohd Yusof membuat keputusan dalam kamar turut memerintahkan Chegu Bard membayar RM10,000 sebagai kos tindakan kepada plaintif.

“Keputusan dibuat hakim dianggap keadilan selepas mempertimbangkan kerosakan terhadap nama plaintif dan tekanan mental dialami akibat tulisan berbaur fitnah dilemparkan defendan.

“Sehingga kini tulisan itu boleh dibaca malah tiada permohonan maaf dibuat Chegu Bard,” katanya di pekarangan mahkamah, di sini.

Hazwan berkata, kenyataan fitnah dibuat menjatuhkan nama baik Mohd Nazree ketika itu bertanding merebut jawatan Ketua AMK pada Pemilihan PKR 2014.

Mohd Nazree yang kini Timbalan Pengerusi Biro Intergrasi Nasional PKR memfailkan saman fitnah RM2 juta terhadap Chegu Bard di Mahkamah Tinggi di sini, pada 20 Oktober 2014.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 January 2016 @ 6:35 AM