Kota Kinabalu: Perintah berkurung bagi fasa ke-26 di perairan pantai timur Sabah membabitkan enam daerah di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE) dilanjutkan susulan masih ada ancaman daripada kumpulan Abu Sayyaf bagi melakukan jenayah rentas sempadan seperti penculikan untuk tebusan dan samun bersenjata.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, perintah berkurung yang bermula semalam hingga 6 September ini diteruskan bagi menjamin keselamatan dan kesejahteraan pengguna perairan, pelancong dan rakyat Sabah di kawasan darat ESSZONE.

“Keputusan meneruskan perintah berkurung ini juga bagi memudahkan penguatkuasaan dan memantau pergerakan bot yang cuba menceroboh untuk melakukan jenayah rentas sempadan. Dalam masa sama, ia bagi menyekat aktiviti penyeludupan manusia, dadah dan senjata api.

“Kita juga mendapat kerjasama baik daripada pengusaha chalet dan aktiviti perikanan dalam menjamin keselamatan perairan termasuk pulau di kawasan sempadan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Perintah berkurung di ESSZONE ini bermula jam 7 malam hingga 5 pagi.

Jalaluddin berkata, kuasa juga diberi kepada semua ketua polis daerah di ESSZONE untuk mengeluarkan permit kepada mana-mana pemohon bagi tujuan aktiviti perikanan atau laluan yang mendesak.

Perintah berkurung mula diperkenalkan 19 Julai tahun lalu membabitkan jarak tiga batu nautika dari pantai. Daerah yang terbabit ialah Tawau, Semporna, Kunak, Lahad Datu, Kinabatangan dan Sandakan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Ogos 2015 @ 11:12 AM