Balik Pulau: Seorang pekerja pembersihan terkejut apabila sekali lagi menemui satu janin cukup sifat yang tersumbat dalam paip di loji kumbahan Jalan Kekabu, Batu Maung, semalam.

Kelmarin, pekerja berusia lingkungan 30-an terbabit menemui janin yang masih bertali pusat berusia lingkungan lima bulan tersumbat dalam paip di loji berkenaan kira-kira jam 6 petang.

Bagaimanapun, semalam, pada kira-kira jam 1 petang, dia terkejut apabila menemui satu lagi janin yang saiznya agak kecil dan turut tersumbat dalam paip.

Sumber berkata, ketika itu pekerja terbabit melakukan tugas hariannya seperti biasa dengan membersihkan kawasan sekitar loji berkenaan.

“Ketika melakukan kerja-kerja pembersihan itu, dia sekali lagi menemui janin yang tersumbat dalam paip di loji berkenaan.

“Berdasarkan kepada saiz janin yang ditemui hari ini (semalam), ia lebih kecil berbanding sebelumnya dan kita percaya ia berusia kurang dari lima bulan,” kata sumber itu.

Menurut sumber itu, janin berkenaan dibawa ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk bedah siasat dan pemeriksaan awal mendapati janin itu mungkin maut dalam kandungan.

“Setakat ini, kita masih menjalankan siasatan dan tidak menolak kemungkinan janin ini milik warga Indonesia dan mungkin dibuang melalui tandas di rumah mereka.

“Loji berkenaan menerima sisa kumbahan sekitar kawasan perumahan di Batu Maung, Permatang Damar Laut dan Bayan Lepas,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Barat Daya Superintendan Lai Fah Hin berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan terperinci dan sedang mengesan suspek.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Ogos 2015 @ 10:18 AM