Jerantut: Penderitaan bayi kembar, Mohammad Naufal Raqib dan Mohammad Nazmi Raqib berusia sembilan bulan yang mengalami masalah pernafasan kronik akibat jangkitan kuman dalam paru-paru terus menerima perhatian dan simpati orang ramai.

Bapa bayi itu, Rosdee Mohamad Rosli, 35, berkata, sehingga semalam, sejak berita anaknya disiarkan Harian Metro, Sabtu lalu, keluarganya tidak putus-putus menerima sumbangan daripada pelbagai pihak.

“Selain wang tunai, ada juga menghubungi kami untuk memberikan kata-kata semangat,” katanya.

Menurutnya, malah, ada pemanggil bukan Islam menghubungi keluarganya dan menawarkan bantuan kewangan untuk anak kembarnya itu.

“Saya terharu dengan keprihatinan rakyat Malaysia yang sudi menghulurkan bantuan walaupun tidak pernah mengenali kami.

“Dengan sumbangan ini, ia dapat meringankan sedikit beban kami membeli keperluan anak kembar saya seperti susu, lampin pakai buang dan membuat persiapan Aidilfitri,” katanya, semalam.

Katanya, sepanjang Ramadan hingga semalam, anak kembarnya dalam keadaan sihat dan tidak mengalami sebarang masalah pernafasan.

Namun, Rosdee dan isteri tetap berjaga-jaga kerana keadaan cuaca tidak menentu dengan panas kering boleh menyebabkan anaknya mengalami gangguan pernafasan.

Sabtu lalu, Harian Metro menyiarkan kisah penderitaan bayi kembar itu yang mengalami masalah pernafasan ketika berusia sebulan dan perlu segera menjalani pembedahan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Julai 2015 @ 10:59 AM