Oleh Nazarali Saeril

Kuala Lumpur: Serangan mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sebenarnya bukan kerana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sebaliknya beliau menggunakan syarikat berkenaan untuk menjatuhkan Perdana Menteri.

Najib melalui blognya berkata, IMDB hanya menjadi batu loncatan terhadap serangan bertali arus Tun Mahathir terhadap Perdana Menteri.

“Jika 1MDB tiada, Tun (Mahathir) akan mencari jalan lain untuk melakukannya (menjatuhkan Perdana Menteri). Apa yang dilakukan Tun cukup memalukan kerana serangan beliau menyebabkan kerosakan kepada UMNO, kerajaan serta Malaysia secara keseluruhan.

“Perlakuan Tun menyebabkan legasi beliau tercalar. Tun turut mengatakan yang BN (Barisan Nasional) akan kalah pada pilihan raya umum akan datang namun sejak bila seorang individu berhak untuk bercakap bagi seluruh pengundi,” katanya.

Najib berkata, pembangkang kini dalam keadaan tidak kukuh dan jika berkuasa, ia akan menyebabkan ketidakstabilan.

Menurut Najib, jika BN terus bersatu dan membuktikan bahawa kerajaan sedia ada mampu melaksanakan tanggungjawab diberi dengan baik buat beberapa tahun mendatang, beliau pasti rakyat pada pilihan raya umum seterusnya akan membuktikan bahawa apa dikatakan oleh Tun Mahathir adalah salah.

“Semua itu akan berlaku apabila rakyat sedar bahawa dakwaan Tun itu tidak benar dan lebih kepada agenda peribadi dan bukannya kehendak rakyat,” katanya.

Pada masa sama, dalam blog berkenaan, Najib berkata ramai yang bertanya kepada beliau apa yang menyebabkan Tun menyerang Perdana Menteri.

Najib berkata, Tun Mahathir hanya mahukan beliau meletak jawatan seperti yang dilakukannya terhadap Tun Abdullah Ahmad Badawi sebelum ini.

Menurut Najib, dalam kes 1MDB, hutang RM42 bilion berkenaan sebenarnya disokong oleh jumlah aset bernilai RM51 bilion, berdasarkan tahun kewangan berakhir 2014, namun Tun Mahathir memilih untuk tidak mengendahkannya.

Najib berkata, adalah salah untuk Tun Mahathir mendakwa bahawa RM42 bilion, atau RM27 bilion selepas Tun Mahathir menukar angkanya, sudah hilang.

“Selepas 1MDB mendedahkan di mana wang RM42 bilion berkenaan, Tun kemudiannya mengatakan beberapa bilion sudah hilang.

“Pertukaran angka serta alasan yang dikemukakannya menimbulkan keraguan terhadap apa yang dikatakan Tun. Bagaimanapun, kerana beliau adalah bekas ketua negara maka sentimen masyarakat serta pasaran terpengaruh dengan dakwaan terbabit,” katanya.

Menurut Najib, selaku Perdana Menteri, adalah menjadi tanggungjawab beliau untuk memastikan semua entiti di bawah seliaan kerajaan, bukan setakat 1MDB, diurus dengan baik.

Kerana itu, menurut Najib, beliau mengarahkan supaya Jabatan Audit Negara menjalankan proses pengauditan terhadap 1MDB dan jika terbukti ada penyelewengan berlaku, maka individu berkaitan perlu dikenakan tindakan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Jun 2015 @ 5:31 AM