Thaluka  diiringi anggota polis.
Thaluka diiringi anggota polis.
Oleh Mohd Hafizee Mohd Arop

Ipoh: Seorang lelaki warga Sri Lanka didakwa di Mahkamah Majistret, di sini, semalam, atas pertuduhan membunuh seorang lelaki warga Bangladesh pada 19 Mei lalu.

Tertuduh, Thaluka Awantha Kuhanige, 19, didakwa membunuh Reazul Islam Saha, 43, di tepi kaki lima Restoran Candy Bar, Persiaran Pulai Baru 2, Taman Muda di Simpang Pulai, di sini, antara jam 6 petang hingga 7 malam.

Thaluka hanya mengangguk tanda faham selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Haslinda A Raof.

Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Fadhil Ab Wahab dan tertuduh diwakili peguam V Ravindran.

Fadhil kemudian memohon mahkamah menetapkan satu tarikh lain untuk sebutan semula kes berikutan laporan bedah siasat dan ujian asid deoksiribonukleik masih belum diperoleh.

Mahkamah menetapkan 7 Ogos ini sebagai sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Jun 2015 @ 6:37 AM