Suasana ceria peserta kategori Kampung Baru Cina.
Suasana ceria peserta kategori Kampung Baru Cina.
Landskap menarik ditonjolkan peserta untuk kategori  Kampung Melayu Tradisional.
Landskap menarik ditonjolkan peserta untuk kategori Kampung Melayu Tradisional.
Kreativiti peserta untuk kategori Kampung Orang Asli menakjubkan.
Kreativiti peserta untuk kategori Kampung Orang Asli menakjubkan.
Rumah panjang  di Sarawak dihias indah  penuh warna-warni.
Rumah panjang di Sarawak dihias indah penuh warna-warni.
Oleh Hamizah Badiran

Malaysia, bumi bertuah yang mempunyai sejarah lama, unik dan tarikan tersendiri kepada pelancong serta penggemar makanan tempatan.

Selain itu, negara ini juga menarik dengan wujudnya banyak kampung atau kawasan desa yang cantik untuk dilawati. Tidak terhad setiap kampung dijaga rapi dan dihias indah, keramahan penduduknya juga membuatkan tetamu yang datang berkunjung berasa selesa.

Justeru, bagi mempertingkatkan kesedaran dan amalan menjaga kesihatan, kebersihan persekitaran dan membentuk kampung yang bersatu-padu, indah serta tersusun, Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) menganjurkan Anugerah Desa Sejahtera 1Malaysia (ADS1M) 2014.

Menterinya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, bermula pada 2014 program berbentuk pertandingan itu sudah melalui beberapa fasa transformasi dan penjenamaan semula iaitu melalui Pertandingan Kebersihan, Keindahan dan Kemajuan Kampung (1987), Pertandingan Desa Cemerlang (2000), Anugerah Desa Cemerlang (2005) dan bermula tahun lalu, ia dikenali sebagai ADS1M.

“ADS1M sebenarnya satu daripada agenda utama Gerakan Daya Wawasan (GDW) dalam memastikan kemajuan yang dicapai setiap kampung selaras dengan pembentukan desa berkualiti yang bercirikan wawasan 2020.

“Terdapat tiga objektif utama ADS1M iaitu merealisasikan program transformasi luar bandar untuk melahirkan masyarakat desa berdaya saing, berinisiatif, berilmu, berdikari dan berdisiplin kerja serta merangsang kelestarian desa yang maju, menarik dan menguntungkan serta berpendapatan tinggi menjelang 2020.

“Selain itu, ia turut bermatlamat menyuburkan semangat 1Malaysia, patriotisme merdeka dan nilai murni tradisi secara istiqamah di peringkat akar umbi yang merentas sempadan kaum, agama, budaya dan geografi,” katanya.

KKLW mula melaksanakan ADS1M iaitu gabungan dua pertandingan besar peringkat luar bandar iaitu Anugerah Desa Cemerlang (ADC) yang menekankan penghakiman aspek kemajuan pembangunan kampung serta pertandingan Anugerah Desa Sejahtera 1Malaysia (ADS1M) yang menekankan penilaian terhadap ciri-ciri patriotisme dan kemerdekaan yang dipertahankan pihak kampung.

Empat kategori kampung yang layak menyertai ADS1M adalah kategori Kampung Tradisional yang terbuka kepada penyertaan 15,895 Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung/Persekutuan (JKKK/P), kategori Rumah Panjang Sarawak yang terbuka kepada penyertaan 1,189 JKKK/P; kategori Kampung Baru Cina terbuka kepada penyertaan 607 JKKK/P dan kategori Kampung Orang Asli untuk 852 JKKK.

Menurut Mohd Shafie, hadiah yang ditawarkan amat lumayan bagi setiap kategori dan penduduk kampung boleh menggunakan jumlah wang tunai itu untuk apa saja keperluan semasa kampung.

“Kami tidak menetapkan sebarang panduan perbelanjaan kerana percaya mereka lebih maklum mengenai keperluan yang dikehendaki dan akan memanfaatkan hadiah kemenangan itu dengan sebaik mungkin.

“Bagi hadiah projek ekonomi, penduduk kampung bebas mencadangkan apa jua jenis projek yang mampu menyumbang kepada pengurusan kewangan kampung yang lebih baik dan dana kewangan yang lebih terjamin. Projek ini akan diurus tadbir oleh sebuah koperasi yang ditubuhkan penduduk sendiri.

“Bagi projek fizikal pula, pihak kampung bebas melaksanakan kerja baik pulih atau naik taraf projek infratruktur asas dan kemudahan sosial serta aktiviti gotong-royong keceriaan dan keindahan kampung,” katanya.

Beliau turut menekankan kepada penduduk luar bandar agar melihat dan mengkaji potensi ekonomi yang terdapat pada kampung masing-masing kerana percaya setiap kampung mempunyai kelebihan tersendiri terutamanya aktiviti ekonomi yang boleh dijalankan seperti industri kecil dan sederhana (IKS), industri sarang burung walet, tanaman ubi kasava dan sebagainya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Mei 2015 @ 10:14 AM