Oleh Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor dan Mohd Khidir Zakaria

ORANG ramai kecoh sebaik tamat pertandingan.

Port Dickson: Harapan kira-kira 200 pemancing merebut hadiah lumayan ditawarkan berkecai apabila mendakwa ditipu penganjur yang menghilangkan diri sebaik Pertandingan Memancing Terbuka Tasik Bandar Springhill, Lukut, di sini, berakhir, kelmarin.

Penganjur yang turut menawarkan Piala 1Malaysia dilaporkan menghilangkan diri menyebabkan ratusan pemancing menyerbu khemah menempatkan juruhebah dan kru pertandingan selepas usaha menghubungi lelaki berkenaan gagal.

Keadaan bertambah kecoh apabila juruhebah dan kru terbabit memaklumkan mereka turut menjadi mangsa penipuan penganjur yang berusia 30-an itu.

Difahamkan, penganjur menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah RM50,000 dengan juara menerima RM20,000 serta piala, naib juara (RM15,000) manakala pemenang ketiga menerima RM8,000 dan pemenang sagu hati menerima RM5,000.

Seorang peserta, Hamzah Talib, 53, dari Tampin berkata, dia sepatutnya dinobatkan sebagai juara selepas berjaya menaikkan keli Afrika seberat 5.03 kilogram, namun malangnya kejayaan itu bertukar menjadi mimpi ngeri apabila penganjur gagal menunaikan janji.

“Apa yang diharapkan berlaku sebaliknya. Sampai hati dia memperlakukan kami sedemikian. Ini kali pertama saya ditipu penganjur sejak menyertai pertandingan memancing lebih 20 tahun lalu.

“Cukup sedih apabila kami rasa terhina apabila penganjur lari menghilangkan diri sebaik tamat pertandingan. Penat lelah kami dibalas dengan perbuatan seperti ini.

“Selepas hampir sejam memancing sejak pertandingan bermula jam 9 pagi, saya gembira, malah tidak sabar membawa pulang wang tunai lumayan dijanjikan, tetapi apakan daya semuanya bertukar kepada berita menyedihkan.

“Saya hanya mengetahui kejadian ini daripada kru terbabit sebelum menghubungi penganjur, tetapi telefon bimbitnya dimatikan,” katanya ketika ditemui Harian Metro, semalam.

Seorang lagi peserta, Azlan Zainal, 39, dari Sikamat, Seremban berkata, dia berjaya menaikkan keli Afrika seberat 4.79 kilogram jam 10.30 pagi dan diisytiharkan pemenang kedua.

“Saya kecewa dan ini juga kali pertama saya menang pertandingan memancing sejak lebih 10 tahun menyertainya,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Port Dickson Superintendan Baharudin Mustapha ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima enam laporan daripada mangsa berhubung penipuan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Mei 2015 @ 9:56 AM