Kuala Lumpur: Kemungkinan helikopter jenis MI-17 milik tentera Pakistan ditembak oleh puak Taliban hingga mengorbankan tujuh nyawa tidak mustahil berlaku.

Ketua Penyelidikan dan Inovasi Pesawat Universiti Kuala Lumpur (UniKL) Kapten Dr Mohd Harridon Mohamed Suffian berkata, perkara itu hanya dapat dibuktikan melalui siasatan serpihan helikopter berkenaan.

“Kebanyakan helikopter terdedah kepada peluru berpandu berikutan ia terbang rendah sekitar 2,000 hingga 7,000 kaki saja.

“Kemungkinan ia ditembak adalah tidak mustahil, bagaimanapun bergantung kepada siasatan pihak berkuasa di sana,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Sebelum ini, AFP melaporkan pihak Taliban mengaku bertanggungjawab menembak jatuh helikopter tentera itu hingga mengorbankan tujuh nyawa termasuk duta Norway dan Filipina.

Dalam satu kenyataan e-mel dalam bahasa Urdu jurucakap mereka Muhammad Khorasani berkata, Perdana Menteri Nawaz Sharif adalah sasaran sebenar.

“Helikopter itu ditembak oleh peluru berpandu antipesawat yang mengorbankan juruterbang dan ramai duta asing,” katanya.

Dalam satu kenyataan pejabat Nawaz berkata, pesawat Perdana Menteri dalam penerbangan ke wilayah Gilgit pada masa kejadian berkenaan, tetapi berpatah balik ke Islamabad selepas berita nahas helikopter itu disiarkan.

Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA) Datuk Azharuddin Abdul Rahman berkata, pihaknya menyerahkan siasatan penuh kepada kerajaan Pakistan berkenaan punca kejadian hingga meragut nyawa isteri Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Pakistan Datin Habibah Mahmud.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Mei 2015 @ 9:12 AM