AZIZAH menunjukkan laporan.
AZIZAH menunjukkan laporan.

Johor Bahru: “Memang menjadi impian Alia menjadi pelajar cemerlang kerana dia harapan keluarga memandangkan kakak sulungnya meninggal dunia dua tahun lalu selepas terbabit kemalangan jalan raya manakala kakak keduanya cacat penglihatan.

“Keadaan itu menyebabkan kami bingung kenapa tiba-tiba dia menghilangkan diri dari rumah membuatkan kami bimbangkan keselamatan dan masa depannya,” kata seorang ibu tunggal, Azizah Abd Rahman, 53.

Menurutnya, dia hanya menyedari kehilangan anak bongsunya, Nur Alia Hasmad, 15, diri dari rumah di Taman Saujana, Kota Tinggi selepas pulang dari tempat kerja jam 7.30 malam Sabtu lalu.

Katanya, dia ada berbual dengan anaknya menerusi telefon bimbit tiga jam sebelum pulang ke rumah.

“Kali terakhir Alia berbual dengan saya jam 4 petang dan suaranya ceria dan tiada perubahan.

“Sejam selepas itu, saya yang bekerja sebagai penyelia kawalan keselamatan di sebuah kilang di Tebrau cuba menghubunginya semula untuk bertanyakan sama ada sudah solat atau tidak, namun dia tidak menjawab telefon saya.

“Saya mula tidak sedap hati apabila dia terus mematikan telefon bimbitnya mulai jam 6 petang dan tiada di rumah ketika saya pulang,” katanya.

Menurutnya, anaknya turut membawa bersama telefon bimbit, beberapa pakaian dan beg sekolah.

Katanya, dia dan keluargamembuat laporan di Balai Polis Kota Tinggi pada 5 April lalu selepas cubaan mengesannya di beberapa lokasi termasuk rumah rakannya selain bertemu dengan guru sekolah gagal.

“Alia bercita-cita mencapai keputusan cemerlang dalam Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kerana mahu berjaya dan membantu keluarga.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan Alia diminta menghubungi talian 012-7877054 atau 019-7727845,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 April 2015 @ 12:11 PM