Oleh Mary Victoria Dass

Pasir Gudang: “Saya sering diuji, tetapi Allah mempermudahkannya,” kata Muhammad Firdaus Abdullah, 35, yang memeluk Islam sejak lima tahun lalu dan kini tidak bekerja kerana menghidap penyakit radang usus selain penglihatannya terjejas.

Semalam, Muhammad Firdaus dan isteri Fatimah Bebe Abdullah, 34, serta tujuh anak berumur antara dua dan 13 tahun memulakan hidup mereka di rumah baru di Blok 41, Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Cendana, di sini, selepas ditawarkan berpindah ke situ, baru-baru ini.

Muhammad Firdaus berkata, dia reda dengan pelbagai ujian diterimanya termasuk masalah kesihatan hingga menyebabkan dia tidak berupaya bekerja.

“Ketika menghadapi ujian berkenaan, ada saja individu berhati mulia yang tampil menawarkan bantuan dan memberi kekuatan untuk meneruskan perjalanan sebagai umat Islam,” katanya.

Menurutnya, sebelum ini dia bekerja sebagai pengawal keselamatan dan terpaksa berhenti kerja kerana keadaan kesihatan merosot dan kini membantu rakannya di sebuah kebun sayur di Pasir Gudang dan upah harian antara RM40 dan RM50.

“Sebelum ini kami menyewa sebuah rumah teres di Taman Pasir Putih dengan kos RM600 sebulan. Bersimpati dengan keadaan kami, seorang ustazah membantu meringankan beban kami dengan menjelaskan sewa berjumlah RM400.

“Walaupun baki hanya RM200, kadang-kadang kami terpaksa mengikat perut untuk memastikan dapat membayar sewa,” katanya yang kini perlu membayar kos sewa RM100.

Menurutnya, dia bersyukur kerana menerima bantuan Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) sebanyak RM400 setiap bulan yang digunakan untuk keperluan persekolahan anak-
anaknya.

“Sekiranya sihat, isteri dan anak-anak tidak perlu hidup kekurangan. Saya mengalami kecacatan mata kiri sejak berusia lapan tahun dan menghidapi radang usus sejak tiga tahun lalu menyebabkan perlu menjalani rawatan susulan di Hospital Sultan Ismail (HSI).

“Walaupun ujian ini berat, tetapi rakan-rakan terutamanya ustaz dan ustazah sentiasa memberi semangat dan dorongan bahawa Allah sentiasa bersama dan Dia akan membantu hambaNya,” katanya.

Semalam Muhammad Firdaus menerima kunjungan Setiausaha Masai Muslim Jamaath, Basir Beran dan Pegawai Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) Norwati Abd Manaf.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Mac 2015 @ 9:06 AM