ANGGOTA polis mengangkat mayat mangsa yang terbabit nahas di Jalan Kota Bharu-Kuala Krai, semalam.
ANGGOTA polis mengangkat mayat mangsa yang terbabit nahas di Jalan Kota Bharu-Kuala Krai, semalam.

Machang: Seorang lelaki maut selepas motosikal ditunggangnya bergesel dengan sebuah lori sebelum merempuh pembahagi jalan dalam kejadian di KM33.3, Jalan Kota Bharu- Kuala Krai di sini, pagi semalam.

Dalam kejadian jam 9.30 pagi, mangsa Wan Othman Wan Hassan, 27, meninggal dunia di lokasi kejadian selepas parah di kepala.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Machang untuk bedah siasat sebelum dituntut ahli keluarganya untuk dikebumikan.

Pemandu lori berkenaan tidak cedera.

Ketua Polis Daerah, Asisten Superintendan Loo Lian Lay berkata, ketika kejadian mangsa menunggang sendirian motosikalnya dari arah Kuala Krai ke Kota Bharu.

Katanya, bagaimanapun apabila tiba di lokasi kejadian sebuah lori yang cuba memotong motosikal mangsa bergesel dengan mangsa.

“Kejadian menyebabkan motosikal mangsa hilang kawalan dan merempuh pembahagi jalan.

“Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian selepas parah di kepala.

Loo berkata, laporan dibuat pemandu lori berkenaan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Februari 2015 @ 6:36 AM