ANGGOTA polis dan orang awam membantu mengangkat mayat Sow yang maut digilis, semalam.
ANGGOTA polis dan orang awam membantu mengangkat mayat Sow yang maut digilis, semalam.

Alor Gajah: Seorang wanita warga emas maut dalam keadaan badan hampir putus digilis lori tanah dalam kemalangan di Jalan Machap Baru-Tebong di Kampung Air Pasir, di sini, pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 pagi, Sow Kiui Hua, 68, yang menunggang Suzuki RG Sport dipercayai terlanggar tanah merah di kiri jalan sebelum bergesel dengan sebuah kenderaan menyebabkan dia terjatuh.

Penoreh getah itu bangun dan cuba mengalihkan motosikal namun pada masa sama sebuah lori tanah dipandu lelaki berusia 74 tahun gagal mengelak lalu melanggarnya.

Menurut sumber, mangsa yang tinggal di Machap Baru, di sini, menunggang motosikal menghala ke Tebong untuk menoreh getah sebelum terjatuh.

“Kenderaan yang bergesel dengan mangsa tidak berhenti dan wanita itu cuba mengalihkan motosikalnya bagi mengelak dirempuh kenderaan lain.

“Namun, sebuah lori dari arah sama gagal mengelak lalu terlanggar wanita itu,” katanya di sini, semalam.

Anak bongsu mangsa, Chong Teck Cheng, 29, berkata, biasanya ibunya pergi ke ladang getah bersama bapa.

“Bagaimanapun pagi tadi (semalam) bapa pergi lebih dulu kerana ibu ada urusan perlu diselesaikan di rumah.

“Bapa ada menghubungi saya bertanya di mana ibu kerana sudah lama menunggu. Tidak lama selepas itu, seseorang menghubungi bapa memaklumkan kejadian,” katanya ditemui di pekarangan Hospital Alor Gajah, di sini, semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintendan Muhammad Ismail Muhammad Yusuf berkata, mangsa mati akibat kecederaan parah di perut dan anggota badan.

“Mayat dihantar ke Hospital Alor Gajah untuk dibedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Muhammad Ismail berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah Inspektor Loh Gia Xao di talian 06-5563222.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 January 2015 @ 7:11 AM