PESAWAT Tentera Udara Singapura (RSAF) membuat tinjauan di Laut Jawa, semalam.
PESAWAT Tentera Udara Singapura (RSAF) membuat tinjauan di Laut Jawa, semalam.

Jakarta: Kawasan pencarian pesawat AirAsia Indonesia QZ8501 yang masuk hari ketiga semalam, diperluas daripada tujuh ke 13 sektor membabitkan keluasan mencecah ratusan kilometer persegi.

Ketua Badan SAR Nasional (BASARNAS) Marsekal Madya (Marsdya) Tentera Nasional Indonesia (TNI) F Henry Bambang Soelistyo menerusi kenyataan yang dikeluarkan memaklumkan semua kawasan pencarian itu membabitkan seluas 156,000 kilometer persegi.

Katanya, pencarian untuk satu sektor saja sudah cukup luas apatah lagi usaha terbabit membabitkan sebanyak 13 kawasan.

“Semua kawasan pencarian merentangi dari Laut Jawa hingga Selat Karimata, dari Pulau Bangka Belitung hingga tepi Kalimantan Barat. Ia amat luas sekali,” katanya.

Katanya, bagi sektor ke 12 dan 13 pula dilakukan menerusi pencarian menerusi udara.

“Untuk sektor 12 dan 13, kita pantau daripada udara,” katanya kepada portal berita online DetikNews.com

Portal berita TribunNews pula melaporkan TNI kini menambah kekuatannya untuk membantu BASARNAS dalam operasi itu.

Ketua Pusat Penerangan Mabes TNI Mayor Jeneral M Fuad Basya memberitahu, sekurang-kurangnya terdapat 16 pesawat dan 13 kapal dikerahkan dalam usaha pencarian itu.

Katanya, antara pesawat itu ialah Helly MI 35, Helly Bell 412 milik TNI-AD, pesawat Cassa, Helly Bolco dan CN 235 milik TNI-AL, serta Boeing 737, Hercules C-130 dan Helly Super Puma milik TNI-AU.

“Sebanyak 13 kapal yang dikerahkan antaranya KRI Yos Sudarso, KRI Hasanudin, KRI Pattimura, KRI Bung Tomo, KRI Sutedi Senaputra, KRI Banda Aceh, KRI Pulau Rengat dan KRI Pulau Romang,” menerusi kenyataannya yang dikeluarkan, semalam.

M Fuad berkata, TNI juga menggunakan kekuatan tiga pasukan termasuk pasukan Detasemen Jala Mangkara (Denjaka) TNI-AL serta pasukan penyelam.

“Selain itu, bantuan turut membabitkan negara jiran seperti Malaysia dengan sebuah pesawat C-130 Hercules dan tiga kapal, Singapura tiga C-130 Hercules dan tiga kapal, Australia dengan dua P3C Orion serta Korea Selatan sebuah P3 Orion,” katanya.

Sementara itu, DetikNews melaporkan, Amerika Syarikat (AS) yang memberi maklum balas terhadap permintaan Indonesia dalam usaha pencarian itu turut menghantar sebuah kapal perang USS Sampson yang berlepas dari Laut Pasifik.

Selain kapal dari AS, Angkatan Laut China juga sudah menghantar kapal laut jenis Frigate yang berlepas dari Laut China Selatan serta sebuah jet udara.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Disember 2014 @ 6:42 AM