Bayan Lepas: Seorang lelaki warga Australia yang dipercayai mabuk ditahan polis selepas dipercayai membuat kacau dan menjerit di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP), di sini, petang semalam.

Kejadian jam 3 petang itu berlaku di sebuah restoran di aras bahagian pelepasan penumpang apabila lelaki lingkungan 30-an itu dikatakan sedang menunggu seorang rakan senegara yang dijangka tiba di LTAPP pada jam 4 petang.

Jurucakap polis berkata, siasatan awal mendapati, lelaki terbabit menjerit dan meraung seperti orang kurang siuman selain cuba menakutkan penumpang di LTAPP menyebabkan sepasukan anggota polis LTAPP terpaksa menahannya dan dibawa ke Pondok Polis LTAPP.

“Siasatan mendapati lelaki berkenaan memberitahu rakannya akan tiba menerusi penerbangan dari Kuala Lumpur, namun dia menjadi berang selepas menunggu agak lama di situ.

“Lelaki berkenaan kemudian dibebaskan dengan amaran selepas rakan senegaranya merayu tiada tindakan dikenakan dan mereka diarahkan pulang ke hotel penginapan di Jalan Penang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Disember 2014 @ 9:50 AM