Kuala Lumpur: “Pelaksanaan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) diperkenalkan bukan bertujuan ‘menyusahkan’ pelajar, sebaliknya mendidik mereka untuk berfikir lebih kreatif, kritis dan mempunyai pengetahuan serta pemahaman yang betul terhadap setiap subjek,” kata Ahli Jawatankuasa Kluster Pendidikan dan Pembangunan Modal Insan Majlis Profesor Negara Prof Datuk Dr Hassan Basri Awang Mat Dahan.

Menurutnya, pelaksanaan PT3 menggantikan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dilihat mampu melahirkan pelajar yang holistik iaitu tidak hanya dinilai dari segi pencapaian akademik malah beberapa potensi lain.

“Sistem pendidikan kita sudah menuju ke arah yang betul iaitu bukan saja mahu melahirkan pelajar yang cemerlang dalam akademik malah mengutamakan sahsiah diri, patriotisme, penampilan dan sosial.

“PT3 ini adalah sasaran Pelan Pembangunan Pendidikan Negara (PPPM) kerana menggabungkan semua kriteria yang diperlukan dalam tenaga kerja,” katanya kepada Harian Metro di sini, semalam.

Beliau yang juga Pengarah Sekolah Makmal Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) berkata, orang ramai terutama ibu bapa perlu memberi ruang dan masa kepada Kementerian Pendidikan Malaysia untuk mengubah sistem pendidikan negara kepada lebih holistik dan tidak melihat keputusan PT3 kelmarin sebagai satu kegagalan.

“Saya lihat keputusan PT3 semalam (kelmarin) adalah masih mencapai status boleh dibanggakan kerana masih ramai pelajar yang cemerlang dan memperoleh keputusan terbaik.

“PT3 memerlukan pelajar lebih banyak membaca, berfikir dengan lebih mendalam dan bukan sekadar menghafal seperti yang dilakukan sebelum ini. Nampak mudah, tetapi sukar sebenarnya jika pelajar tidak membuat persediaan awal,” katanya.

Katanya, walaupun peratus semua lulus peperiksaan merosot, masih ramai yang memperoleh A dalam sesuatu subjek yang membuktikan kejayaan tahap pengukuran elemen Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT).

“Pelajar yang mempunyai daya fikir kreatif dan inovatif mampu menjawab soalan di luar kotak fikir dan dalam konteks ini, kita yakin KBAT yang pertama kali diguna pakai berjaya mencapai matlamatnya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Disember 2014 @ 9:30 AM