Shah Alam: Bahang kemeriahan Gempak Santai Harian Metro (GSHM) semakin dirasai apabila taman tema WaterWorld@i-City itu menjadi tumpuan pengunjung yang bakal merasai suasana menyeronokkan di taman tema itu.

Bagi menghargai pembaca setia akhbar itu, HM dengan kerjasama i-City menyediakan 15,000 tiket percuma kepada pembaca untuk masuk ke taman tema itu pada Sabtu dan Ahad ini.

Bagi pengunjung Salini Ariffin, 37, pembaca yang mendapat tiket percuma itu adalah antara yang bertuah kerana selain perlu mengumpul 20 keping keratan kepala akhbar, mereka turut perlu bersaing dengan pembaca lain.

“Kalau diberi peluang untuk memiliki dua tiket percuma masuk ke taman tema WaterWorld@i-City, saya juga mahu tetapi tidak berkesempatan untuk berbuat begitu untuk kali ini.

“Mungkin jika diadakan pada masa akan datang, saya pasti akan menyertai Gempak Santai HM ini kerana terdapat aktiviti menarik yang disediakan,” katanya.

Menurutnya, dia yang datang dari Kota Bharu sudah membuat perancang lebih awal untuk ke i-City, jika tidak dia pasti menyertai Gempak Santai HM bersama pembaca lain kerana WaterWorld@i-City mempunyai tarikan tersendiri.

Seorang lagi pengunjung Suzlina Yahya, 35, berkata, jika dia ditawarkan tiket percuma sudah pasti dia berminat untuk menyertainya bersama pembaca lain selain turut serta memeriahkan lagi suasana.

“Harian Metro mengambil langkah bijak apabila menawarkan tiket percuma kepada pembacanya dan ini membuatkan mereka akan terus memberi sokongan kepada akhbar pilihan ramai ini selain dilihat usaha menghargai pembacanya.

“WaterWorld@i-City menjanjikan satu pengalaman menyeronokkan buat mereka kerana selain mempunyai kemudahan lengkap, ia turut mempunyai pasukan penyelamat kecemasan yang sentiasa memantau pengunjung,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Disember 2014 @ 8:48 AM