NAJIB melawat rumah peserta selepas Majlis Perasmian Rumah Peserta Agropolitan Runchang.
NAJIB melawat rumah peserta selepas Majlis Perasmian Rumah Peserta Agropolitan Runchang.
Oleh Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz

Pekan: Masyarakat luar bandar tidak pernah dipinggirkan dalam sebarang projek pembangunan yang dilakukan malah kerajaan memberikan jaminan golongan terbabit memperoleh pendapatan tetap manfaat daripada projek berkenaan.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, segala projek pembangunan dijalankan secara menyeluruh merangkumi aspek kemudahan asas dan sumber ekonomi yang membolehkan mereka memperoleh pendapatan tetap bulanan sehingga RM1,000 sebulan.

Beliau berkata, menerusi penyertaan projek pertanian atau penternakan membolehkan mereka membuat tabungan atau melabur untuk masa depan lebih terjamin.

“Kita melaksanakan pembangunan luar bandar dengan melihat secara pakej dan menyeluruh kerana jika kita bina rumah tanpa sediakan sumber ekonomi dan bagi rumah dengan bekalan air terputus-putus, ia bukan pembangunan bersifat menyeluruh.

“Kerajaan menyediakan pembangunan luar bandar itu bukan saja membina bekalan kemudahan asas termasuk rumah, jalan raya dan bekalan air serta api, juga menyediakan sumber ekonomi untuk mereka laksanakan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyerahkan kunci rumah kepada 102 Orang Asli peserta Projek Agropolitan Pekan, Runchang, di sini, semalam.

Hadir sama, Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob dan Ketua Eksekutif Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) Datuk Jebasingam Issace John.

Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan berkata, Projek Agropolitan Pekan di Runchang antara contoh projek pembangunan luar bandar yang menyeluruh bagi menjamin kehidupan lebih terjamin.

“Peserta Orang Asli yang menyertai projek ini dapat rumah selesa, hidup lebih lengkap dan pendapatan terjamin setiap bulan.

“Malah, saya juga suka umumkan bahawa elaun mereka yang bekerja dalam bidang ternakan biri-biri Dorper juga dinaikkan sebanyak 12 peratus daripada RM950 kepada RM1,064 sebulan mulai 1 Januari ini,” katanya.

Menurutnya, kerajaan yakin pembangunan luar bandar secara pakej dan menyeluruh itu juga dapat merubah sikap golongan terbabit untuk memiliki daya usaha bagi menikmati kehidupan lebih baik terutama untuk anak mereka pada masa akan datang.

Projek Agropolitan Pekan di Runchang adalah satu daripada Program Transformasi Ekonomi (ETP) bagi mewujudkan setiap lapisan masyarakat termasuk Orang Asli berpendapatan tinggi sekali gus membasmi kemiskinan kumpulan minoriti itu.

Seramai 102 Orang Asli dari sekitar daerah ini menyertai projek itu pada 2009, terbabit dengan penternakan biri-biri Dorper dan mereka berupaya memperoleh pendapatan kira-kira RM1,000 sebulan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Disember 2014 @ 5:06 AM