FORUM  diadakan   penduduk dan NGO bagi membincangkan pelbagai isu   berlaku di Cameron Highlands, semalam.
FORUM diadakan penduduk dan NGO bagi membincangkan pelbagai isu berlaku di Cameron Highlands, semalam.

Cameron Highlands: Penduduk sekitar kawasan yang terjejas akibat tragedi banjir lumpur dan tanah runtuh, di sini, pada 5 November lalu, sekali lagi kecewa untuk bertemu dengan wakil rakyat bagi membincangkan beberapa isu membabitkan kemusnahan di kawasan tanah tinggi terbabit.

Wakil penduduk yang juga ahli badan bukan kerajaan (NGO) Rakyat Prihatin Cameron (RPC) Suresh Kumar berkata, pihaknya menghantar dua surat jemputan kepada Ahli Parlimen Cameron Highlands Datuk Seri G Palanivel untuk meluangkan masa bertemu penduduk melalui Forum Selamatkan Cameron Highlands di Barre Center, di sini, semalam, namun wakil rakyat terbabit gagal muncul.

“Jemputan yang dihantar pada 14 November dan 27 November lalu langsung tidak dijawab dan hanya Ahli Dewan Undangan Negeri Tanah Rata Leong Ngah Ngah saja yang memberi respons serta bersedia untuk bertemu pada bila-bila masa.

“Kami sudah memberikan tarikh iaitu pada 16, 23 dan 30 November lalu kepada Palanivel yang semuanya pada hari Ahad untuk bertemu dan berbincang dengan penduduk bagi mendengar luahan dan masalah yang kami hadapi, tetapi dia tidak mahu berjumpa dengan rakyat,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Forum itu hanya diwakili Leong yang berseorangan menjawab semua soalan berkaitan isu tanah, banjir, aliran trafik, pencemaran air sungai dan isu pembangunan yang berlaku di kawasan itu.

Difahamkan, Palanivel yang juga Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar kini berada di Lima, Peru bagi menghadiri Mesyuarat Perubahan Iklim Dunia dan dijangka berada di sana sehingga 10 Disember ini.

Menurut Suresh, dia dimaklumkan pada 23 November lalu, Palanivel berada di Cameron Highlands, tetapi enggan berjumpa penduduk bagi menjawab segala persoalan berlaku.

“Kalau tidak mahu berjumpa penduduk, sekurang-kurangnya berjumpalah kami pihak NGO. Penduduk ada marah, kecewa dan tidak puas hati kerana sebelum ini selepas insiden berlaku, dia tidak meluangkan masa berjumpa penduduk dan apabila dianjurkan forum masih tidak datang, malah surat jemputan tidak dibalas,” katanya.

Menurutnya, forum itu mendapat maklum balas positif dengan kehadiran hampir 40 penduduk yang mewakili pelbagai kaum.

Katanya, forum antara lain mengetengahkan isu pencemaran air sungai yang semakin kritikal di Cameron Highlands, aliran trafik teruk ketika hujung minggu, penerokaan haram, isu membabitkan tanah lesen menduduki sementara serta banjir kilat dan tanah runtuh yang dialami akibat kesan penerokaan hutan tidak terkawal.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Disember 2014 @ 5:10 AM