Kuala Krai: “Pemandu itu mungkin tidak perasan mangsa berada di kiri jalan selain dipandu laju,” kata Sulaiman Mansor, 41, saksi kemalangan membabitkan seorang lelaki warga emas, Abdullah Talib, 71, yang maut digilis treler membawa bijih timah di Kilometer 67.8, Jalan Kota Bharu-Gua Musang berhadapan pejabat Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 12 tengah hari, Abdullah meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di badan.

Sulaiman berkata, ketika itu, dia sedang menunggu rakan dalam kereta di tempat kejadian sebelum melihat sebuah lori dipandu laju menghampiri lelaki itu yang menunggang motosikal Yamaha Lagenda di lorong kiri.

“Mangsa menunggang perlahan di kiri jalan sebelum digilis treler berkenaan dengan pemandunya tidak berhenti, sebaliknya terus memandu laju,” katanya.

Anak mangsa, Roswati, 34, berkata, dia terkejut sebaik dimaklumkan kejadian menimpa bapanya.

“Sudah takdir, kami reda. Beberapa hari sebelum kejadian, arwah ayah sering menyendiri dan jarang bercakap,” katanya.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Kuala Krai untuk dibedah siasat dan dituntut ahli keluarga untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Pasir Jering.

Ketua Polis Daerah Kuala Krai Superintendan Abdul Rahim Che Ghani ketika dihubungi berkata, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di di seluruh badan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 November 2014 @ 3:00 AM