Putrajaya: Pemohon baru yang layak menerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) diminta membuat permohonan mulai 1 Disember ini, manakala penerima BR1M sedia ada diminta mengemas kini semula maklumat peribadi bagi memastikan agihan bantuan berjalan dengan lancar.

Menteri Kewangan II Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah berkata, proses permohonan dan mengemas kini perlu dilakukan dalam tempoh sebulan sehingga 31 Disember depan menerusi beberapa langkah.

Beliau berkata, pemohon boleh mengisi permohonan secara dalam talian menerusi portal rasmi BR1M Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) di laman sesawang https//:ebr1m.hasil.gov.my atau dengan menggunakan Borang Permohonan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) 2015 (BK-01); atau Borang Kemas Kini.

“Borang yang siap diisi boleh dikembalikan ke mana-mana cawangan atau Pusat Khidmat Hasil atau Pusat Transformasi Bandar (UTC) LHDNM atau pejabat Daerah,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Ahmad Husni berkata, kerajaan mula menghantar surat kepada penerima BR1M sedia ada mulai 1 November lalu meminta mereka mengemas kini maklumat.

Beliau berkata, penerima BR1M dikehendaki melengkapkan maklumat terkini pasangan dan tanggungan, alamat terkini pemohon, akaun bank pemohon dan maklumat waris pemohon.

Pada perbentangan Bajet 2015 baru-baru ini, kerajaan mengumumkan pemberian BR1M 2015 dan Skim Khairat Kematian (menggantikan i-BR1M) dengan nilai bantuan dinaikkan mengikut kategori isi rumah dan individu serta pendapatan.

Bagi Skim Khairat Kematian pula, bantuan RM1,000 diberi kepada waris penerima BR1M 2015 dibawah kategori isi rumah dan warga emas.

Pemberian BR1M 2015 dibayar secara berperingkat tiga kali setahun kepada penerima di bawah kategori isi rumah, manakala penerima di bawah kategori individu menerima bantuan sekali gus bermula 28 Januari 2014.

Pembayaran BR1M secara berperingkat diharap membantu meringankan belanja bulanan dan merancang perbelanjaan isi rumah.

Menerusi pembentangan bajet itu, isi rumah berpendapatan RM3,000 ke bawah menerima BR1M RM950 dibayar masing-masing RM300 pada 28 Januari, 28 Mei dan 28 September 2015.

Sementara isi rumah berpendapatan RM3,000 ke RM4,000 menerima RM750.

“Bagi tujuan tuntutan, waris boleh membuat tuntutan selewat-lewatnya pada 31 Mac 2015 dengan mendapatkan borang di laman sesawang www.malaysiantakaful.com.my atau menghubungi hotline i-BR1M di talian 03-27162716 atau e-mel di [email protected].

Sebarang pertanyaan boleh menghubungi talian bebas tol 1800-88-2716 (LHDNM) atau talian 03-8882 4565/ 4566 (Kementerian Kewangan) serta e-mel di [email protected].

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 November 2014 @ 5:15 AM