PELAJAR tidak melepaskan peluang melihat teknologi baru ketika berlangsungnya #mydigitalmaker.
PELAJAR tidak melepaskan peluang melihat teknologi baru ketika berlangsungnya #mydigitalmaker.
Afiq Hanif

Lebih 30,000 pelajar sekolah dari seluruh negara berpeluang menerima pendidikan digital menerusi karnival #mydigitalmaker yang berlangsung di Axiata Arena Bukit Jalil, baru-baru ini.

Melalui program inisiatif Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) itu, ia mendedahkan pelajar mengenai teknologi digital, sekali gus menarik minat mereka mencipta teknologi dan inovasi pada masa akan datang.

Penyanyi remaja, Ismail Izzani, 18, turut menjayakan karnival dua hari terbabit memandangkan program itu penting kerana dapat memupuk minat pelajar mengetahui bidang digital.

Katanya, antara syarikat yang mempamerkan modul pembelajaran seperti robot, animasi kreatif, pembangunan aplikasi dan keselamatan siber sepanjang kembara itu mampu menarik minat remaja seperti beliau.

“Antara aspek teknologi digital berkenaan termasuk robotik, percetakan 3D dan pembangunan aplikasi yang saya lihat boleh dimanfaatkan pelajar sekarang,” katanya.

Katanya, penyertaan beliau selaku remaja dalam program itu juga dapat menggalakkan pelajar melanjutkan pengajian dalam bidang teknologi digital dan menjadi pemacu ekonomi digital Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Datuk Yasmin Mahmood berkata, inovasi digital mencipta semua sektor dan mengubah landskap pekerjaan.

“Bagi memastikan Malaysia kekal berdaya saing di dalam arena tempatan dan global, penting untuk kita melengkapkan golongan muda dengan kemahiran digital yang mustahak agar mereka bersedia menjadi ‘pasukan kerja digital’ pada masa depan,” katanya.

Inisiatif #mydigitalmaker mendekatkan pelajar untuk memahami bagaimana teknologi seperti pengkodan dan pembuatan 3D dapat memupuk minat serta kesedaran kepada mereka untuk meneroka, seterusnya merangsang idea baru dalam menghasilkan ciptaan inovasi digital.

Ini termasuk Kembara MyDigitalMaker yang menggunakan sebuah bas yang diubah suai untuk dijadikan unit pembelajaran mudah alih.

Bas khas yang mempunyai peralatan pameran pendidikan digital akan menjelajah luar bandar termasuk bandar kecil untuk menunjukkan kepada pelajar dan juga guru mengenai teknologi digital.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Oktober 2018 @ 3:03 PM