Afiq Hanif

Mungkin ini masa terbaik untuk bermain Pokemon Go semula terutama selepas konsol mudah alih Nintendo Switch bakal mempunyai game baru,Pokemon: Let's Go Pikachu dan Eevee yang menarik.

Boleh dihubungkan bersama Pokemon Go yang popular dulu, lebih baik anda bersedia dengan meningkatkan tahap apatah lagi ia juga mempunyai banyak perubahan baru seperti sistem ‘Trade’dan ‘Share’.

Seperti biasa, Pokemon yang berjaya ditangkap akan disimpan dan disenaraikan dalam Pokedex, menjadikan usaha mengumpul dan melengkapkan seberapa banyak Pokemon dalam ensiklopedia Pokedex sebagai sasaran utama dalam permainan ini.

Diperkenalkan pada Julai 2016 oleh Niantic Inc, permainan ini menjadi ikutan ramai, malah ada yang memuat turun permainan ini sebelum pelancaran rasminya.

Sebaik memuat turun permainan berasaskan augmented reality keluaran Niantic itu, pemain diberikan pilihan untuk memilih avatar lelaki atau wanita yang boleh diubah suai mengikut cita rasa pemain sebagai perwakilan pemain Pokemon.

Seperti kebanyakan permainan dunia terbuka, pemain akan dilengkapi dengan peta maya yang menyediakan maklumat kedudukan Pokemon bersembunyi di lokasi terbabit secara sebenar, PokeStops untuk melengkapkan pemain dengan telur, Poke Balls, ubat dan umpan.

Manakala Pokemon gym pula sebagai tempat pertempuran menaikkan kekuatan Pokemon pemilik yang ia ditempatkan di lokasi tarikan utama orang ramai dan pelancong.

Setiap spesies Pokemon dilaporkan berbeza mengikut kawasan seperti kawasan berair, berbatu dan hutan, namun dalam trailer permainan itu, Niantic turut memaparkan barisan Pokemon unik khusus mengikut negara.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Ogos 2018 @ 2:53 PM