MEMILIH trompet kerana sesuai jiwa.
MEMILIH trompet kerana sesuai jiwa.
Siti Zarinah Sahib

Gabungan pelbagai alat muzik yang dimainkan ahli pasukan Alam Shah Wind Orchestra (ASWO) di Sekolah Sultan Alam Shah, (SAS) Putrajaya, mencipta kekaguman tersendiri.

Lagak pelajar ini sambil memegang alat muzik masing-masing kelihatan sangat profesional pada masa sama menghiburkan.

Apatah lagi alunan irama lagu rakyat Jong Jong Inai yang dimainkan mereka kedengaran sangat segar berbeza dengan alunan muzik orkestra yang pernah didengari di dewan simfoni sebelum ini.

Di hadapan mereka berdiri Ketua Konduktor ASWO Dr Muhamad Noor Alfarizal Kamarudin, 32, yang setia bersama trompet sambil menunjukkan isyarat tangan.

Kejayaan demi kejayaan diraih. Akademiknya cemerlang, bakat muziknya luar biasa terutama semangat menjulang nama bagi menjadikan ASWO pasukan orkestra terbaik Malaysia, namun tiada siapa menjangka, Dr Muhamad Alfarizal adalah pejuang kanser limfoma tahap empat.

Semangat dan kekuatan yang ada pada anak muda ini sewajarnya menjadi ikutan. Kesakitan langsung tidak mematahkan semangat mengajar orkestra kepada 60 pelajar ASWO malah apa yang bermain dalam fikirannya hanya latihan untuk persediaan menghadapi Festival 10th Winter Band di Hong Kong pada hujung November ini.

Menurut Muhamad Alfarizal, tahun ini ASWO berjaya menjadi juara untuk kali kelapan dalam pertandingan orkestra Sekolah Berasrama Penuh (SBP).

“Ini amat membahagiakan saya kerana segala penat lelah selama ini berbaloi apabila melihat hasilnya. Ya, memang benar kanser mungkin cuba menguasai diri saya, namun kanser tidak sesekali mampu memisahkan saya dengan anak ASWO, merampas kasih sayang saya pada minat dan usaha selama ini,” kata anak kedua empat beradik ini memulakan bicara.

Kini, biarpun terikat dengan jadual kerja yang amat padat, sebagai pegawai penyelidik dan juga saintis di Brain Research Institute Monash Sunway (BRIMS), Jeffrey Cheah School of Medicine and Health Sciences, Monash University Malaysia, Muhamad Alfarizal tetap menumpahkan kasih sayangnya buat anak-anak ASWO.

Muzik orkestra umpama terapi buatnya yang sentiasa bergelut dengan dunia akademik, makmal dan kajiannya di universiti. Kebahagiaan yang dimilikinya apabila bersama anak-anak ASWO memberi kekuatan dan semangat untuk terus kuat melawan penyakit.

“Anak ini dan orkestra adalah semangat saya dan mengapa saya berjaya pulih sepenuhnya daripada kanser disebabkan terapi muzik dan semangat mereka,” katanya gembira.

Cuba menzahirkan rasa hatinya anak kelahiran Seberang Perai, Pulau Pinang mengakui kembara muziknya bermula seawal usia 13 tahun dengan bermain trompet. Pada usia yang masih remaja, dia bertuah kerana menerima pendedahan hebat dalam dunia muzik merangkumi dalam dan luar negara.

“Saya bersekolah di Sekolah Kebangsaan Sungai Setar sebelum melanjutkan persekolahan menengah di Sekolah Sultan Alam Shah, Putrajaya dari tingkatan satu hingga lima. Dulu saya aktif dengan orkestra dan menjadi anggota ASWO bermula pada 1999 sehingga 2003, namun terhenti sebaik saja melanjutkan pelajaran.

“Selepas menamatkan pengajian doktor falsafah dalam bidang biokimia (neuroimunologi) di Universiti Malaya saya kembali aktif menyemai bakti untuk sekolah lama,” katanya.

MENJADI ketua konduktor ASWO.
MENJADI ketua konduktor ASWO.

Sentiasa menunjukkan kesungguhan dalam apa juga bidang diceburinya, bakat semula jadi dalam muzik membuatkan dia dipilih bagi membuat persembahan di beberapa pentas orkestra terkenal antaranya Orkestra Simfoni Muda Kebangsaan dan Simfoni Orkestra Universiti Malaya.

Malah, sepanjang pembabitan dalam dunia orkestra Muhamad Alfarizal berpeluang bermain muzik di sisi Datuk Mokhzani, Datin Alyah, Jaclyn Victor, Datuk Khatijah Ibrahim dan Ning Baizura serta beraksi untuk Big Band dan persembahan Konsert Diraja.

Bagi mendalami bidang muzik, dia mengambil Diploma Pengajaran Muzik dari Lembaga Peperiksaan Muzik Antarabangsa (IMEB) Australia ketika menuntut di Universiti Malaya dalam jurusan ijazah kedoktoran biokimia.

Kejayaan luar biasa dalam muzik apabila meraih pelbagai anugerah dan kemenangan sama ada dalam negara mahupun luar Malaysia

Antaranya Anugerah Konduktor Terbaik pada Pertandingan Wind Orchestra Kolej Pendeta Za’ba, Universiti Kebangsaan Malaysia pada 2015 dan 2016, Festival Pertandingan Wind Orchestra Sekolah-Sekolah Berasrama Penuh 2016, merangkul anugerah Favourite Band pada Festival Summer Band Music di Jeju, Korea Selatan dan anugerah emas kepujian serta markah tertinggi di Festival Antarabangsa Muzik dan Seni Malaysia 2015 hingga 2017.

Jelasnya, biarpun dibebani tugasan sebagai saintis, sentiasa berada di makmal membuat pelbagai kajian namun apabila beralih kepada muzik jiwanya kembali tenang. Hari-hari dilalui kembali bercahaya dengan semangat baru.

“Jika saya bukan saintis, saya mungkin bergelar ahli muzik. Jiwa saya sentiasa hidup dengan muzik, saya berfikir dalam muzik. Saya memandang kehidupan ini umpama rentak muzik yang sentiasa segar dan menggembirakan,” katanya.

Kanser limfoma tahap 4

Ditanya mengenai kanser, dia mula menyedari bengkak pada bahagian leher kiri sejak Januari lalu. Dia terus menjalani pemeriksaan di hospital dan selepas didiagnosis doktor mengesahkan yang ia adalah kanser limfoma tahap empat. Lebih menyedihkan apabila sel kanser sudah merebak ke tulang sumsum dan hati.

“Saya memang sudah menjangkakan yang ia adalah kanser kerana sebelum itu saya sering demam, hilang berat badan secara mendadak sehingga tujuh kilogram dan kerap berpeluh pada waktu malam. Sering membuat kajian mengenai kanser membuatkan saya tenang menerimanya.

“Apa yang ada di fikiran saya ketika itu adalah rawatan yang perlu dilalui bagi membolehkan saya kembali sihat dan meneruskan tugas sebagai konduktor ASWO,” katanya yang melakukan kemoterapi di Hospital Besar Pulau Pinang selama lima bulan.

Ujarnya, ketika kemoterapi dilakukan dia turut berdepan kesan sampingan seperti demam, ulser dalam mulut, kehilangan tenaga, muntah dan keguguran rambut. Namun dalam kesakitan melawan penyakit dia tetap memikirkan mengenai orkestra dan masa depan ASWO.

Lebih penting dia tidak pernah beralah dengan kesakitannya itu. Ada ketika, dia terbang dari Pulau Pinang ke Putrajaya semata-mata untuk latihan ASWO, biarpun dirinya baru saja ‘segar’ daripada rawatan kemoterapi yang tentunya menghakis banyak tenaga. Namun semua itu bukan halangan bagi Muhamad Alfarizal kerana baginya ASWO dan muzik orkestra adalah terapi jiwa dan ubat kesakitan selama ini.

MUHAMAD Alfarizal komited melatih pelajar untuk persediaan pertandingan di Hong Kong hujung November ini.
MUHAMAD Alfarizal komited melatih pelajar untuk persediaan pertandingan di Hong Kong hujung November ini.

“Keluarga dan rakan sentiasa bersama semasa menjalani rawatan.

Mereka nadi dan juga pendorong utama untuk terus kuat menjalani kehidupan seharian. Saya tidak sangka guru, murid dan rakan lama datang melawat dan memberikan semangat ketika terlantar di hospital.

“Selepas lima bulan menjalani pelbagai rawatan dan ubat-ubatan Alhamdulillah sejak Julai lalu saya disahkan bebas kanser. Saya bersyukur kepada Allah kerana memberikan nikmat yang tidak terhingga ini,” katanya gembira.

Kini Muhamad Alfarizal kembali bekerja dan menjalani rutin harian sebagai saintis. Dia juga mula menjaga pemakanan dengan mengamalkan pemakanan sihat dan makanan tambahan, cukup tidur dan sentiasa berfikiran positif.

Pada masa sama melakukan rutin harian melatih pelajar ASWO untuk menjadi lebih berjaya sama ada dalam muzik dan juga pelajaran.

“Saya juga mahu mereka menjadi seperti saya, iaitu memberikan sesuatu kepada masyarakat. Kita tidak tahu selama mana Allah memberikan peluang untuk hidup, oleh itu buat apa yang kita rasa ingin buat.

“Bantu masyarakat mengikut kemampuan kerana kehidupan ini adalah sejauh mana kita berupaya memberi nilai kepada orang lain. Masa bergerak pantas oleh itu jangan sia-siakan peluang ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 September 2018 @ 2:10 PM