MOHD Syukri (berdiri tengah) bersama anak yatim yang menerima bantuan persekolahan.
MOHD Syukri (berdiri tengah) bersama anak yatim yang menerima bantuan persekolahan.
Yusliza Yakimir Abd Talib

Keceriaan jelas terpancar buat 55 kanak-kanak dari Pertubuhan Kebajikan Asnaf Al-Barakah, Gombak apabila menerima sumbangan kelengkapan persekolahan daripada syarikat pengeluar produk pencuci jenama Top 5, SR Asia Resources Sdn Bhd (SR Asia Resources).

Pengarah Urusannya, Mohd Syukri Ibrahim berkata, objektif program itu adalah untuk membantu kanak-kanak kurang bernasib baik dalam membuat persediaan dan persiapan kembali ke sekolah.

Katanya, bantuan membabitkan wang tunai dan beg sekolah dapat memberikan kegembiraan kepada kanak-kanak kurang berkemampuan sempena sesi persekolahan tahun ini.

“Bantuan ini sudah pasti dapat meringankan beban pengurusan pertubuhan. Ia juga bukti masih ramai anggota masyarakat yang prihatin dan peka untuk membantu kanak-kanak yang kurang bernasib baik.

“Sumbangan ini secara tidak langsung dapat membantu pelajar yang kurang berkemampuan memasuki sesi persekolahan tahun ini dengan lebih ceria dan selesa,” katanya.

Kanak-kanak terbabit diraikan dalam majlis makan malam sempena Ulang Tahun Top 5 Detergent ke-3 bersama stokis yang mencatatkan jualan tertinggi jenama itu dan kakitangan syarikat, baru-baru ini.

Katanya, melalui bantuan persekolahan ini dapat menyuntik semangat baru setiap murid untuk meneruskan sesi persekolahan mereka.

Dalam pada itu, bagi meringankan beban rumah kebajikan terbabit, syarikat turut memberi sumbangan wang tunai berjumlah RM2,000.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Februari 2018 @ 3:28 AM