ARTUR B didakwa membunuh neneknya. FOTO Agensi
ARTUR B didakwa membunuh neneknya. FOTO Agensi
Agensi

Berlin: Seorang lelaki di Jerman tergamak menetak neneknya yang berusia 100 tahun, dengan kapak, sehingga mangsa mati.

Lelaki itu bertindak sedemikian kerana tidak tahan menguruskan keperluan wanita berkenaan.

Metro UK melaporkan, pendakwa raya berkata, mangsa, penghidap demensia dikenali Amalie G, ditemukan dengan keadaan kepalanya dipenggal di rumahnya, pada Mac lalu.

Cucunya, Artur B, 37, dihadapkan ke mahkamah di Hamburg, Khamis lalu, kerana didakwa atas pertuduhan membunuh mangsa.

Menurut akhbar Jerman, Bild, Artur dituduh mengambil kapak dan menyerang Amalie ketika neneknya itu duduk di atas kerusi roda.

Nenek itu berjaya mengambil pembersih hampagas tanpa wayar dan cuba mempertahankan diri, tetapi cucunya menghayun kapak itu sebanyak 16 kali.

Amalie dikatakan ditetak di bahagian bahu, kepala dan leher, dengan hentakan terakhir memutuskan saraf tunjangnya.

Insiden itu pada mulanya dikaitkan dengan pergaduhan yang berpunca kerana wang.

Artur, bekas askar yang menganggur dan pekerja kilang kimia dikatakan berulang kali dituduh mencuri oleh neneknya.

Bagaimanapun, pihak pendakwa kini percaya Artur, yang menjaga neneknya, mahu melepaskan diri daripada menguruskan keperluan wanita itu.

Dia menerima rawatan untuk masalah psikologi, termasuk ubat-ubatan.

Artur turut bercakap dengan pakar psikiatri ketika dalam tahanan, lapor Bild.

Pakar psikiatri dilaporkan sedang melakukan penilaian sama ada lelaki itu bertanggungjawab secara jenayah atas tindakannya pada masa itu.

Artur dijangka memberi keterangan pada Isnin apabila perbicaraan kes itu bersambung.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 September 2023 @ 12:46 PM