GAMBAR hiasan. FOTO AFP.
GAMBAR hiasan. FOTO AFP.
AFP

Paris: Perancis merancang menguatkuasakan larangan pemakaian abaya atau jubah oleh pelajar perempuan Islam di sekolah, atas alasan pakaian itu melanggar undang-undang sekular pendidikan yang ketat.

"Tidak boleh lagi memakai abaya di sekolah," kata Menteri Pendidikan Gabriel Attal kepada stesen televisyen TF1 dipetik AFP.

Beliau juga akan menerangkan 'peraturan yang lebih jelas di peringkat kebangsaan' kepada pengetua sekolah, sebelum kelas kembali bermula 4 September ini.

Larangan itu dilaksana selepas debat selama berbulan mengenai pemakaian abaya di sekolah Perancis, yang wanita Muslim sebelum ini turut dilarang mengenakan tudung.

Pihak aliran kanan negara itu mendesak penguatkuasaan larangan terbabit, namun ditentang haluan kiri yang berhujah, ia menceroboh kebebasan awam.

Terdapat laporan mengenai pemakaian abaya yang semakin banyak di sekolah dan mewujudkan ketegangan antara guru dan ibu bapa.

"Sekularisme bermaksud kebebasan untuk membebaskan diri melalui sekolah.

"Anda masuk ke dalam kelas dan mesti tidak boleh mengenal pasti agama pelajar dengan melihat mereka," kata Attal yang menyifatkan abaya sebagai isyarat keagamaan bertujuan untuk menguji penentangan republik terhadap tempat perlindungan sekular yang mesti diwujudkan sekolah.

Pada Mac 2004, undang-undang Perancis melarang pemakaian tanda atau pakaian oleh mana-mana pelajar yang kononnya menunjukkan pertalian agama di sekolah, termasuk salib besar, kippa Yahudi dan tudung.

Namun tidak seperti tudung, abaya - jubah longgar yang seiring kepercayaan Islam, belum dilarang setakat ini.

Bagaimanapun Kementerian Pendidikan dilapor sudah mengeluarkan pekeliling mengenai isu itu pada November tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Ogos 2023 @ 12:07 PM