Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
AFP

Ottawa: Polis Kanada menyiasat rompakan bernilai lebih Can$20 juta (RM66.57 juta) membabitkan emas dan barangan berharga lain yang dipindahkan dari lapangan terbang Toronto.

Pada sidang media semalam, Inspektor Polis Wilayah Peel Stephen Duivesteyn berkata, emas dan barang berharga itu tiba pada petang Isnin dalam kontena yang diturunkan daripada pesawat dan disimpan dengan selamat di kemudahan penyimpanan kargo.

Bagaimanapun ia dilapor hilang tidak lama selepas itu.

Duivesteyn berkata, kontena terbabit dialihkan dari fasiliti dengan cara yang menyalahi undang-undang, namun beliau tidak mengulas bagaimana rompakan berlaku atau dalang di sebaliknya.

"Penyiasat kami memerhati semua laluan. Kita melihat dari semua sudut bagaimana barangan ini dicuri," katanya.

Toronto Sun yang memetik sumber melaporkan penjenayah itu melarikan 3,600 paun (1632.933 kilogram) emas dan pihak berkuasa ini menyiasat organisasi jenayah di wilayah itu.

"Ini sangat jarang berlaku," kata Duivesteyn menggambarkan kecurian di lapangan terbang itu sebagai insiden terpencil yang tidak memberi kesan kepada orang ramai yang mengembara.

Beliau juga memaklumkan terlalu awal bagi siasatan merumus rompakan dilakukan penjenayah profesional atau sekadar peluang berbuat jenayah.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 April 2023 @ 1:08 PM