OBJEK antikereta kebal diletakkan di Odessa, bagi menghalang kemaraan tentera Rusia. FOTO Reuters
OBJEK antikereta kebal diletakkan di Odessa, bagi menghalang kemaraan tentera Rusia. FOTO Reuters
Agensi

Kyiv: Askar Rusia yang terkandas dalam barisan tentera berperisai sejauh 64.3 kilometer (km) yang mengandungi kereta kebal dan persenjataan berat berhampiran Kyiv, selama beberapa hari, boleh berdepan keadaan beku.

Ketika ini mereka berdepan dengan suhu di bawah sifar pada waktu malam dan Ukraine dijangka berdepan cuaca sejuk dalam beberapa hari akan datang dengan suhu menurun kepada -10 darjah Celcius beserta salji, lapor The Independent.

Suhu boleh menurun lebih jauh kepada -20 darjah Celcius, pada Rabu, kerana angin timuran bergabung dengan udara Artik.

Situasi cuaca berais sebegitu dijangka memburukkan keadaan tentera Rusia, yang masih terperangkap dalam konvoi besar kereta kebal yang hampir tidak bergerak dan terperangkap sekitar 30 km dari pusat bandar.

Kereta kebal itu akan menjadi 'peti sejuk besar' untuk tentera Rusia jika mereka tidak menghidupkan enjin dan akan memaksa mereka untuk melarikan diri, Glen Grant, pakar pertahanan kanan di Yayasan Keselamatan Baltik, memberitahu Newsweek.

"Sebuah kereta kebal logam hanyalah peti sejuk pada waktu malam jika anda tidak menghidupkan enjin," katanya yang menasihati Ukraine mengenai pembaharuan ketenteraannya.

Dia berkata, tentera Rusia tidak akan menunggu, dan akan keluar berjalan ke hutan, dan menyerah diri untuk mengelakkan mati beku.

"Anda tidak boleh duduk dan menunggu kerana jika anda berada di dalam kenderaan anda sedang menunggu untuk dibunuh. Mereka tidak bodoh," katanya.

Kementerian Pertahanan United Kingdom dan pegawai pertahanan Amerika Syarikat (AS) berkata, konvoi itu tidak bergerak sejak beberapa hari lalu.

"Nampaknya tidak ada pergerakan penting," kata seorang pegawai kanan pertahanan AS kepada pemberita pada Ahad.

Ia mungkin disebabkan oleh masalah mekanikal, isu bekalan bahan api dan rintangan Ukraine yang semakin meningkat.

"Barisan tentera besar Rusia yang menuju ke Kyiv kekal lebih 30 km dari pusat bandar kerana saingan sengit Ukraine, kerosakan mekanikal dan kesesakan," kata kementerian itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Mac 2022 @ 11:48 AM