IBU dan anak lelakinya menunggu sehingga kanak-kanak berusia 11 tahun itu berada di rumah sendirian sebelum melaksanakan rancangan mereka. FOTO Baidu
IBU dan anak lelakinya menunggu sehingga kanak-kanak berusia 11 tahun itu berada di rumah sendirian sebelum melaksanakan rancangan mereka. FOTO Baidu
Agensi

Beijing: Percubaan keterlaluan seorang ibu di China untuk meminta anak lelakinya yang berusia 27 tahun mengahwini seorang gadis, berumur 11 tahun, dengan menculik gadis itu selepas lamaran keluarga ditolak, mencetuskan bantahan orang ramai, lapor portal South China Morning Post.

Pada Februari tahun lalu, ibu lelaki itu, Yang, dari Bandar Qujing, wilayah Yunnan, barat daya China, bertemu dengan gadis muda itu di sebuah kampung di bandar Liupanshui di wilayah barat daya Guizhou.

Percaya bahawa kanak-kanak itu adalah pasangan yang sempurna untuk anaknya, dia bercadang membawanya pulang ke Yunnan untuk menjadi bakal menantunya.

Selepas bapa gadis itu menolak lamaran itu, Yang berpakat dengan anaknya untuk menculik budak berkenaan.

Pada 14 Februari 2023, apabila gadis itu bersendirian di rumah di Liupanshui, Yang menculiknya, dan anak lelaki itu membawanya pulang ke rumah mereka di Yunnan.

Yang akhirnya ditangkap pada 20 Februari tahun sama, dan anaknya menyerah diri empat hari kemudian. Ketika itu, gadis itu sudah menghabiskan empat hari di rumah mereka.

Pada 15 Disember tahun lalu, Mahkamah Daerah Shuicheng di Liupanshui menjatuhkan hukuman penjara dua tahun dan tujuh bulan kepada Yang dan anaknya masing-masing atas kesalahan penculikan kanak-kanak.

Ibu dan anak itu membuat rayuan, dan perbicaraan kedua di Mahkamah Pertengahan Rakyat Liupanshui, mengekalkan keputusan sama pada 7 Mac lalu.

China mempunyai tradisi kuno pengantin kanak-kanak, dikenali sebagai tong yang xi, yang mana sebuah keluarga mengambil seorang gadis praremaja untuk membesarkannya sebagai bakal isteri kepada anak lelaki mereka.

Walaupun diharamkan pada 1950, amalan itu berterusan di kawasan luar bandar, yang menyebabkan kanak-kanak perempuan diculik.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 April 2024 @ 2:32 PM