INDIA meminta rakyatnya menangguhkan perjalanan ke Israel atau Iran kerana risiko tindak balas ketenteraan. FOTO AFP.
INDIA meminta rakyatnya menangguhkan perjalanan ke Israel atau Iran kerana risiko tindak balas ketenteraan. FOTO AFP.
BERNAMA

New Delhi: Kerajaan India memberitahu rakyatnya supaya tidak melakukan perjalanan ke Israel atau Iran berikutan kebimbangan yang meningkat mengenai potensi tindak balas Iran terhadap Israel.

"Memandangkan keadaan semasa di rantau itu, semua rakyat India dinasihatkan supaya tidak melakukan perjalanan ke Iran atau Israel sehingga diberitahu kelak. Bagi mereka yang kini tinggal di Iran atau Israel diminta supaya berhubung dengan Suruhanjaya Tinggi India di sana dan mendaftarkan diri mereka," kata Kementerian Luar India semalam.

Beberapa negara termasuk United Kingdom, Rusia dan Amerika Syarikat telah mengeluarkan nasihat perjalanan ke Israel dan rantau itu kerana kemungkinan tindak balas ketenteraan Iran berikutan serangan Israel ke atas Kedutaan Iran di Damsyik, Syria.

Keadaan di Asia Barat masih lagi tegang selepas Israel tidak mengendahkan resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu supaya menghentikan kempen genosidnya di Gaza dengan sejumlah besar daripada 2.3 juta penduduk Gaza di ambang kebuluran.

Rusia pada Khamis memberitahu rakyatnya supaya mengelak daripada pergi ke rantau itu terutamanya Israel, Lubnan dan wilayah Palestin melainkan mereka mempunyai keperluan yang mendesak.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 April 2024 @ 8:32 AM