LELAKI berjalan berhampiran kereta yang rosak susulan serangan udara Israel di kem pelarian Tulkarm. FOTO AFP
LELAKI berjalan berhampiran kereta yang rosak susulan serangan udara Israel di kem pelarian Tulkarm. FOTO AFP
AFP

Baitulmaqdis: Tentera Israel mengakui bahawa salah satu kenderaannya secara tidak sengaja melanggar jasad seorang pejuang Palestin semasa operasi di Tebing Barat, Isnin lalu.

Tentera berkata, mereka membunuh tiga pejuang Palestin semasa berbalas tembakan dalam operasi bagi menangkap seorang lelaki yang dikehendaki.

"Kenderaan operasi yang dilihat dalam video itu dihantar untuk mengeluarkan pasukan yang terperangkap akibat tembakan dan secara tidak sengaja melanggar mayat pejuang itu.

"Kami akan meneliti semula apa yang berlaku, malah video itu tidak menunjukkan kejadian itu secara keseluruhan," katanya kepada AFP.

Kenyataan tentera Israel itu bagi menjawab tuduhan pegawai Palestin yang menuduh Israel melakukan jenayah kejam selepas rakaman media sosial tular menunjukkan kenderaan tentera melanggar seorang pejuang yang maut di bandar Tulkarm, petang Isnin lalu.

Rakaman lain yang dikongsi di media sosial daripada kejadian itu menunjukkan sekumpulan lelaki berlari keluar dari sebuah bangunan dan tiga daripada mereka ditembak.

Video kejadian hari Isnin itu dirakam dari kamera keselamatan dan menunjukkan sebuah kenderaan perisai perlahan-lahan memandu di atas apa yang kelihatan seperti mayat.

Kenderaan itu kemudian berhenti, dihidupkan semula dan dipandu, menghempap jasad itu sekali lagi dengan roda belakangnya.

Serbuan tentera Israel dan serangan penjajah membunuh sekurang-kurangnya 334 orang di Tebing Barat dalam tempoh tiga bulan lalu, menurut kementerian kesihatan Palestin yang berpangkalan di Ramallah.

Israel menduduki Tebing Barat, rumah kepada kira-kira tiga juta rakyat Palestin, sejak 1967.

Kira-kira 490,000 penduduk Israel tinggal di penempatan di Tebing Barat, tindakan yang dianggap haram di bawah undang-undang antarabangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 January 2024 @ 11:27 AM