SEORANG individu menangis di tepi kenderaan membawa jenazah Mushtaq Jawad Kazim al Jawari. FOTO AFP
SEORANG individu menangis di tepi kenderaan membawa jenazah Mushtaq Jawad Kazim al Jawari. FOTO AFP
Reuters

Baghdad: Serangan balas tentera Amerika Syarikat (AS) di ibu negara, semalam, membunuh seorang pemimpin kumpulan pejuang Islam tempatan.

Jurucakap Pentagon Mejar Jeneral Patrick Ryder mendakwa, pemimpin terbabit dipertanggungjawabkan atas serangan ke atas kakitangan AS, baru-baru ini.

Katanya, serangan kira-kira 9 pagi itu menyasarkan Mushtaq Jawad Kazim al Jawari, pemimpin Harakat Al Nujaba yang didakwa AS terbabit dalam merancang dan melakukan serangan terhadap kakitangan Amerika.

"Serangan itu juga membunuh seorang lagi anggota Harakat Al Nujaba.

"Tiada orang awam yang cedera serta infrastruktur atau kemudahan yang musnah dalam serangan itu," katanya.

Komander pejuang Iraq, Abu Aqeel al-Moussawi berikrar membalas dendam atas serangan terbaharu itu.

Sumber dan saksi sebelum ini berkata, sebuah dron menembak sekurang-kurangnya dua roket ke ibu pejabat kumpulan itu di timur Baghdad.

Sumber polis dan kumpulan itu berkata, roket itu mengenai kenderaan di perkarangan dan membunuh empat orang termasuk seorang komander kumpulan itu dan salah seorang pembantunya.

Dalam satu kenyataan, jurucakap tentera untuk Perdana Menteri Iraq Mohammed Shia Al-Sudani mengecam serangan ke atas kumpulan itu dan menyifatkannya sebagai serangan tidak wajar terhadap entiti keselamatan Iraq.

Sejak perang Israel-Hamas bermula Oktober lalu, tentera AS diserang sekurang-kurangnya 100 kali di Iraq dan Syria dengan roket dan dron serangan sehala.

AS mempunyai 2,500 tentera di Iraq dan 900 di negara jiran Syria memberi tumpuan untuk mencegah kebangkitan semula kumpulan jihad Negara Islam.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 January 2024 @ 10:30 AM