PENUNJUK perasaan memegang poster dan sepanduk bagi menyatakan bantahan terhadap tindakan pelepasan sisa air dari loji nuklear Fukushima. FOTO Reuters
PENUNJUK perasaan memegang poster dan sepanduk bagi menyatakan bantahan terhadap tindakan pelepasan sisa air dari loji nuklear Fukushima. FOTO Reuters
AFP

Tokyo: Jepun akan mula mengeluarkan sisa air dari loji nuklear Fukushima yang musnah menerusi operasi yang disifatkan negara itu sebagai selamat, bermula 1 tengah hari ini.

Permulaan pelepasan air dianggarkan bersaiz kira-kira 540 kolam renang Olimpik ke Lautan Pasifik selama beberapa dekad itu adalah langkah besar dalam menyahkan tapak itu yang masih sangat berbahaya, walaupun selepas 12 kemalangan nuklear paling teruk berlaku di dunia.

Operator loji Tepco berkata, keadaan cuaca dan laut sesuai untuk melakukan operasi itu mulai hari ini.

Katanya, pihaknya akan menghidupkan pam pemindahan air laut kira-kira 1 tengah hari untuk memulakan pelepasan berkenaan.

"Pemantau dari badan pemantau atom Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) akan berada di tapak bagi memantau prosedur itu, manakala pekerja Tepco akan mengambil sampel air dan ikan.

"Dengan kira-kira 1,000 bekas keluli menahan air, pihaknya perlu mengosongkan ruang untuk penyingkiran bahan api nuklear radioaktif yang sangat berbahaya dan runtuhan daripada reaktor yang rosak," katanya.

Pada 2011, tiga daripada reaktor di kemudahan Fukushima-Daiichi di timur laut Jepun, runtuh berikutan gempa bumi dan tsunami yang mengorbankan kira-kira 18,000 orang.

Sejak itu, Tepco mengumpul 1.34 juta meter padu air yang tercemar daripada menyejukkan reaktor rosak bercampur dengan air bawah tanah dan air hujan yang meresap masuk.

Tepco dijangka menjalankan empat pelepasan air terawat mulai hari ini hingga Mac 2024 dengan setiap operasi akan mengeluarkan kira-kira 7,800 meter padu air.

Pelepasan pertama akan mengambil masa kira-kira 17 hari.

Jepun menegaskan semua unsur radioaktif ditapis kecuali tritium. Tahapnya tidak berbahaya dan lebih rendah daripada yang dilepaskan loji kuasa nuklear yang beroperasi termasuk di China.

Kebanyakan pakar juga menyokong Jepun termasuk Tom Scott dari Universiti Bristol di United Kingdom yang berpandangan pelepasan itu hanya memberi risiko kecil.

"Apabila dilepaskan ke Lautan Pasifik, tritium dicairkan lagi dalam lautan air yang luas dan akan cepat mencapai tahap radioaktiviti yang tidak ketara berbeza daripada air laut biasa," katanya.

Bagaimanapun, keputusan Jepun itu menimbulkan reaksi negatif terutama dari China dan Rusia yang mencadangkan air itu perlu menjalani proses pengewapan sebelum dilepaskan ke atmosfera.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Ogos 2023 @ 11:04 AM