GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Agensi

New Delhi: Malang nasib remaja perempuan apabila diperkosa berkali-kali oleh pegawai kanan kerajaan di India.

Portal NDTV melaporkan, lelaki itu didakwa menyebabkan remaja itu khayal dengan dadah atau ubat sebelum suspek memperkosa mangsa, kata sumber polis pada Selasa.

Sumber polis juga berkata, remaja perempuan berusia 14 tahun itu tertekan selepas bapanya meninggal dunia pada 2020.

Bapanya meninggal dunia ketika penularan Covid-19 memuncak, tetapi bukan disebabkan oleh virus itu.

Menurut polis, kejadian rogol kali pertama berlaku pada 31 Oktober 2020. Ia dipercayai berlaku beberapa hari selepas remaja itu trauma dengan kematian bapanya.

Remaja itu dibawa pulang ke rumah pegawai terbabit di Burari di timur laut Delhi, oleh ibunya, kurang dua minggu kemudian.

Menurut ibunya, pegawai terbabit meyakinkannya bahawa dia akan selamat dalam jagaannya.

Sumber polis berkata, remaja itu diperkosa lebih sekali selama lima bulan menetap di Burari, pada Februari 2021.

Sebulan kemudian, mangsa pergi ke Jharkhand untuk majlis keluarga dan tidak pulang ke rumah pegawai itu.

Dalam kenyataannya kepada polis, remaja perempuan itu berkata, pegawai terbabit mencabulnya di gereja dan rumah.

Menurut polis, remaja perempuan itu sering mengalami serangan panik selepas bapanya meninggal dunia, memaksanya berhenti sekolah dan mendaftar di institusi pembelajaran terbuka.

Sumber polis berkata, trauma akibat kematian bapa dan diperkosa kemungkinan menjadi faktor mangsa tidak melaporkan penderaan seksual itu kepada pihak berkuasa.

Dalam pada itu, pegawai itu yang sudah digantung tugasnya di Jabatan Pembangunan Wanita dan Kanak-Kanak, menafikan semua tuduhan itu.

Dia ditahan pihak berkuasa untuk membantu siasatan kes berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Ogos 2023 @ 9:40 AM