FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
BERNAMA

Taipei: Seorang wanita menerima pampasan sebanyak 400,000 Dolar Taiwan Baharu (kira-kira RM58,067) selepas mengalami gangguan saraf periferi berikutan suntikan vaksin Covid-19 diterimanya, menurut maklumat terkini yang dikeluarkan oleh Program Pampasan Kecederaan Vaksin (VICP).

Agensi Berita Pusat melaporkan VICP mengadakan mesyuarat pada 29 Jun untuk membincangkan kes yang membabitkan masalah kesihatan yang dilaporkan daripada mengambil vaksin, dan sama ada ia perlu diberi pampasan.

Mesyuarat itu menyaksikan 170 kes dibincangkan, dengan 13 kes layak mendapat pampasan antara 5,000 Dolar Taiwan Baharu (kira-kira RM726) hingga 400,000 Dolar Taiwan Baharu (kira-kira RM58,067).

Daripada jumlah itu, lima kes membabitkan vaksin AstraZeneca, tiga vaksin Moderna, empat vaksin Pfizer-BioNTech, dan satu vaksin Medigen.

Timbalan Ketua Pengarah Pusat Kawalan Penyakit (CDC) Taiwan Tseng Shu-huai memberitahu pemberita pada Jumaat, pampasan tertinggi sebanyak 400,000 Dolar Taiwan Baharu (kira-kira RM58,067) diberikan kepada seorang wanita dari Kaohsiung yang berusia 40-an.

Wanita bernama Su itu berasa lemah pada anggota badan selepas menerima suntikan AstraZeneca dan kemudiannya disahkan menghidap polineuropati, kata Tseng.

Sementara itu, menurut minit mesyuarat VICP, seorang remaja lelaki berusia 17 tahun dari New Taipei, bernama Chen, menerima pampasan 10,000 Dolar Taiwan Baharu (kira-kira RM1,452).

Remaja itu berasa sesak dada dan berdebar-debar dua hari selepas menerima suntikan vaksin Pfizer-BioNTechnya.

Pemeriksaan di hospital kemudiannya menunjukkan dia mengalami peningkatan tahap 'creatine phosphokinasehe'.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Julai 2023 @ 10:07 AM