TAPIR yang ditemui di Singapura. FOTO Facebook, MC Wai
TAPIR yang ditemui di Singapura. FOTO Facebook, MC Wai
Agensi

Singapura: Seekor tapir Malaya yang ditemukan di Punggol Park Connector di sini, baru-baru ini, kemungkinan berenang dari Malaysia ke Singapura.

Ketua Pegawai Eksekutif Bersama, Persatuan Penyelidikan dan Pendidikan Keprihatinan Haiwan (Acres), Kalai Vanan Balakrishnan berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai penemuan haiwan itu sebelum ia masuk semula ke dalam laut.

"Kami berharap ia akan dihantar pulang, jika ia ditangkap dan menemui habitat sesuai di tempat asalnya," katanya kepada The Straits Times, pada Ahad.

Sementara itu, Pegawai Muzium Sejarah Alam Sekitar Lee Kong Chian, Marcus Chua berkata, penemuan itu sangat jarang berlaku di Singapura.

Penemuan haiwan itu heboh selepas Richard Seah, menyiarkan perkara itu menerusi kumpulan Facebook, Singapore Wildlife Sightings.

Dia mendedahkan, baru saja melihat tapir bersaiz khinzir besar di Punggol Park Connector yang berhadapan dengan Pulau Coney.

"Saya tak sempat mengambil sebarang gambar kerana haiwan itu melarikan diri," katanya.

Seorang lagi ahli kumpulan itu, MC Wai, berkongsi gambar dan video tapir pada ruangan komen perkongsian asal Seah yang turut melaporkan penemuan itu kepada Lembaga Taman Negara.

Dalam video tular itu, bahagian belakang tapir boleh dilihat bergoyang kiri kanan ketika ia berjalan di sepanjang laluan sebelum hilang di sebalik tumbuh-tumbuhan.

Pada 2016, seekor tapir Malaya dilihat di Changi kira-kira 4.30 pagi ketika berlari-lari anak berdekatan pagar besi.

Sebelum itu, kali terakhir Singapura merekodkan penemuan tapir ialah pada 1986 di Pulau Ubin.

Tapir Malaya adalah spesies terancam dan boleh didapati di Sumatera, Semenanjung Malaysia dan selatan Thailand.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Julai 2023 @ 10:40 AM