PITA Limjaroenrat. FOTO Reuters
PITA Limjaroenrat. FOTO Reuters
BERNAMA

Bangkok: Masa depan pemimpin politik Thailand, Pita Limjaroenrat, "ibarat telur di hujung tanduk" memandangkan beliau berdepan pusingan kedua pengundian di Parlimen untuk menentukan sama ada berjaya menjadi perdana menteri atau sebaliknya.

Selain itu, Mahkamah Perlembagaan juga akan bermesyuarat pada Rabu untuk mempertimbangkan sama ada menerima petisyen Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang mendakwa Pita tidak layak bertanding jawatan perdana menteri kerana mempunyai pegangan saham dalam syarikat media ketika mendaftar pencalonannya pada Pilihan Raya Umum (PRU), 14 Mei lalu.

Pemimpin Parti Move Forward (MFP) berusia 42 tahun itu berdepan kemungkinan digantung atau hilang kelayakan sebagai Ahli Parlimen selepas SPR memutuskan untuk merujuk kes pegangan saham media ke Mahkamah Perlembagaan.

Ketika Parlimen bersidang pada Rabu, Pita dijangka dinamakan semula untuk jawatan itu selepas gagal meraih sokongan lebih separuh daripada 749 Ahli Parlimen dwidewan dalam percubaan pertamanya, Khamis lalu.

Bagaimanapun, Speaker Wan Muhamad Noor Matha berkata, Ahli Parlimen akan membahaskan sama ada Pita boleh dicalonkan semula untuk jawatan perdana menteri pada Sabtu, sebelum membuat keputusan.

Pada PRU 14 Mei, MFP yang memenangi 151 kerusi dan memperoleh lebih 14.2 juta undi, mengetuai gabungan lapan parti yang memperoleh 312 daripada 500 kerusi di Dewan Rakyat.

Pheu Thai memenangi 141 kerusi, parti kedua terbesar dalam gabungan itu.

Walaupun menjadi calon tunggal perdana menteri, Pita hanya menerima 324 undi, manakala 182 undi menentangnya dan 199 berkecuali pada pengundian pusingan pertama.

Seramai 705 Ahli Parlimen hadir pada persidangan itu. Hanya 13 daripada 249 senator (seorang meletak jawatan pada Rabu) menyokong Pita, manakala selebihnya mengundi menentangnya atau berkecuali.

Pita mendapat sokongan daripada gabungannya untuk dicalonkan semula pada pusingan kedua pengundian.

Bagaimanapun, ini mungkin percubaan terakhirnya untuk memenangi jawatan tertinggi kerana Pita akan memberi laluan kepada Parti Pheu Thai, andai beliau kecundang sekali lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Julai 2023 @ 9:16 AM