GUNUNG berapi Mayon memuntahkan lava ketika meletus semalam. FOTO AFP
GUNUNG berapi Mayon memuntahkan lava ketika meletus semalam. FOTO AFP
Bernama-VNA

Hanoi: Pihak berkuasa Filipina mengeluarkan amaran "risiko kesihatan" berikutan abu dan gas toksik yang dimuntahkan dari gunung berapi Mayon.

Terdahulu, lebih 12,800 penduduk yang tinggal di sekitar Mayon, satu daripada gunung berapi paling aktif di Filipina dipindahkan ketika ia meletus, menurut Agensi Berita Vietnam (VNA).

Institut Vulkanologi dan Seismologi Filipina berkata ia merekodkan sekurang-kurangnya satu gempa bumi gunung berapi dalam tempoh 24 jam pada Ahad.

Pakar gunung berapi berkata batuan gunung berapi menghujani kawasan itu sehingga dua kilometer dan pelepasan sulfur dioksida meningkat tiga kali ganda pada 10 Jun.

Bercakap pada sidang media pada 11 Jun, Setiausaha Kesihatan Teodoro Herbosa berkata pihak berkuasa menaikkan tahap bencana alam daripada Tahap 2 kepada Tahap 3 pada 9 Jun dengan memberi amaran kemungkinan penyakit pernafasan akibat terhidu asap.

Kemungkinan letusan besar boleh berlaku dalam beberapa hari atau minggu, tambahnya.

Presiden Filipina Ferdinand Marcos meminta orang ramai untuk mematuhi saranan dan arahan pemindahan oleh kerajaan tempatan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Jun 2023 @ 12:04 PM