JACK Ma. FOTO Reuters
JACK Ma. FOTO Reuters
AFP

Tokyo: Bilionair China, Jack Ma pada Isnin dilantik sebagai profesor pelawat di universiti Jepun, satu lagi peranan akademik baharu untuk pengasas gergasi teknologi Alibaba itu.

Kolej Tokyo, sebahagian daripada Universiti Tokyo yang berprestij berkata, Ma akan berkongsi pengalamannya dan pengetahuan perintis mengenai keusahawanan, pengurusan korporat dan inovasi dalam seminar untuk pelajar dan kakitangan.

Lelaki berusia 58 tahun itu hilang pengaruhnya selepas dikenakan tindakan keras kerajaan China terhadap industri teknologi sejak dua tahun lalu.

Bagaimanapun, beliau dilantik sebagai profesor kehormat bagi sekolah perniagaan Universiti Hong Kong, dilaporkan untuk tempoh tiga tahun yang berakhir pada Mac 2026.

Di laman webnya, Kolej Tokyo berkata, Ma akan menjalankan penyelidikan dan projek bersama dengan ahli fakulti terutamanya dalam bidang pertanian mampan dan pengeluaran makanan.

Sebagai profesor pelawat, Ma akan memberi nasihat dan sokongan mengenai topik penyelidikan.

Sebelum melancarkan Alibaba yang merangkumi e-dagang, pengkomputeran awan, media dan kecerdasan buatan, Ma mengajar Bahasa Inggeris selama lapan tahun di Universiti Hangzhou Dianzi di timur China.

Beliau adalah salah satu sasaran paling berprofil tinggi dalam tindakan keras terhadap dakwaan amalan antipersaingan oleh beberapa nama besar di China dalam bidang teknologi sejak akhir 2020.

Didorong oleh kebimbangan bahawa firma internet utama mengawal terlalu banyak data dan berkembang terlalu cepat, pengawal selia mendenda Alibaba dengan jumlah yang besar dan membatalkan tawaran awam permulaan Ant Group milik Ma.

Difahamkan, Ma tidak muncul di khalayak sejak dua tahun lalu, tetapi dilihat di pulau Sepanyol dan dilaporkan tinggal di Jepun untuk sebahagian besar 2022.

Bagaimanapun, beliau membuat kemunculan di China pada Mac lalu ketika melawat sekolah yang diasaskan oleh rakan kongsi Alibaba di bandar Hangzhou.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Mei 2023 @ 11:36 AM