Sebahagian kanak-kanak di kem pelarian di Cox’s Bazar, Bangladesh. - FOTO Reuters
Sebahagian kanak-kanak di kem pelarian di Cox’s Bazar, Bangladesh. - FOTO Reuters
AFP

Cox's Bazar, Bangladesh: Pemotongan bantuan makanan akan mendatangkan kesan ke atas jutaan etnik Rohingya yang tinggal di kem pelarian Bangladesh.

Program Makanan Sedunia PBB mengumumkan pada Jumaat bahawa ia akan mengurangkan bantuannya buat kali pertama sejak tindakan keras tentera 2017 di Myanmar yang menghalau sejumlah besar Rohingya keluar dari rumah mereka dan merentasi sempadan.

Baucar makanan bulanan akan dipotong daripada $12 kepada $10 setiap orang mulai Mac untuk menampung kekurangan derma sebanyak $125 juta, kata agensi itu, sambil menambah bahawa pemotongan catuan selanjutnya juga berlangsung tanpa tambahan dana segera.

"Kami faham bahawa perhatian dunia terhadap Rohingya semakin berkurangan," kata Sayedullah, seorang ketua masyarakat Rohingya yang tinggal di kem itu, kepada AFP.

"Tetapi keputusan terbaru ini akan membuka jalan kepada krisis kemanusiaan di kem."

Salimullah, seorang lagi pemimpin masyarakat berkata pemotongan catuan akan memburukkan lagi jenayah di kem, dengan wanita dan kanak-kanak paling menderita.

"Akan ada peningkatan dalam keganasan, dadah dan penyeludupan manusia," katanya.

Rohingya yang tinggal di kem sekitar Cox's Bazar tidak dibenarkan mencari pekerjaan dan hampir sepenuhnya bergantung kepada bantuan kemanusiaan yang terhad untuk terus hidup.

Hampir satu daripada lapan kanak-kanak Rohingya sudah mengalami kekurangan zat makanan, manakala 40 peratus wanita hamil dan menyusukan bayi mengalami anemia.

Sebilangan besar pelarian telah mencuba menyeberangi laut berbahaya dalam usaha mencari kehidupan yang lebih baik jauh dari kem, termasuk lebih 2,000 orang tahun lalu, menurut agensi pelarian PBB.

Dianggarkan hampir 200 Rohingya telah mati atau hilang tahun lalu semasa pelayaran tersebut.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Februari 2023 @ 5:49 PM