DEMONSTRASI membantah kenaikan harga bahan api di Jakarta. FOTO AP
DEMONSTRASI membantah kenaikan harga bahan api di Jakarta. FOTO AP
Agensi

Jakarta: Ribuan penduduk Indonesia menyertai siri demonstrasi pada minggu ini bagi membantah langkah kerajaan mahu menaikkan harga bahan api sehingga 30 peratus.

Al Jazeera melaporkan peserta tunjuk perasaan berhimpun di ibu negara Indonesia pada Selasa lalu, dan beberapa bandar utama termasuk Surabaya, Makasar, Aceh, and Jogjakarta,

Ia adalah beberapa siri demonstrasi yang dianjurkan oleh kumpulan pelajar dan kesatuan sekerja, yang dijangka akan menarik ribuan orang ke jalanan, minggu ini.

Sejak hujung minggu dan Isnin lalu, beberapa perhimpunan kecil, dengan ada peserta perhimpunan yang membakar tayar dan menghalang laluan di jalan raya.

Menurut Al Jazeera, kerajaan sudah memberi subsidi terhadap bahan api selama berdekad-dekad.

Kenaikan harga bahan api dan barang sebelum ini menyebabkan bantahan daripada kumpulan pelajar pada 1998, manakala kenaikan harga barang menjadi antara punca kejatuhan Presiden Suharto.

Dalam pada itu, Reuters melaporkan siri tunjuk perasaan itu susulan pengumuman Presiden Joko Widodo atau Jokowi mengenai perkara itu pada Sabtu lalu.

Ia adalah kenaikan pertama seumpamanya sejak 2014.

Menurut Reuters, langkah itu bagi menangani jumlah besar subsidi yang ditanggung kerajaan.

Jokowi menerusi ucapan yang disiarkan televisyen berkata, ia adalah langkah terakhir dan keputusan sukar.

Menurutnya, kenaikan harga bahan api itu dapat digunakan untuk meningkatkan bantuan sosial termasuk bantuan tunai sementara dikenali sebagai BLT.

"Orang ramai mempunyai harapan tinggi untuk BLT," kata penganalisis politik dari Agensi Penyelidikan dan Inovasi Kebangsaan (Brin), Agus R Rahman.

Pekerja kilang, Rifki Mubarok, 35, berkata, bantuan tunai berkenaan tidak mencukupi untuk keperluan yang semakin meningkat.

Dia antara individu yang menyertai demonstrasi di depan Parlimen, pada Selasa lalu.

Dalam pada itu, pemerhati politik berpendapat bahawa langkah itu adalah tepat bagi menangani inflasi global.

Ia juga memastikan dana untuk pembangunan projek mega termasuk ibu negara baharu Indonesia, Nusantara.

Selain itu, pengumuman kenaikan bahan api itu, pada tahun ini, berbanding tahun depan juga akan dapat mengekalkan pengaruh Jokowi terhadap pilihan raya presiden 2024.

Dalam pada itu, Reuters dalam laporan berasingan melaporkan Jokowi sudah mengarahkan kerajaan wilayah untuk menggunakan belanjawan untuk mengurangkan kesan kenaikan harga bahan api.

Selain itu, tambang teksi motosikal yang menjadi pengangkutan awam utama di negara itu juga dinaikkan mulai 10 September.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 September 2022 @ 12:39 PM