AHLI keluarga terpaksa mengusung jenazah sejauh 13 kilometer kerana ketiadaan kenderaan jenazah. FOTO Agensi
AHLI keluarga terpaksa mengusung jenazah sejauh 13 kilometer kerana ketiadaan kenderaan jenazah. FOTO Agensi
Agensi

Mamuju: Ketiadaan perkhidmatan van jenazah menyebabkan mayat seorang wanita di Kalumpang, Sulawesi Barat, terpaksa diusung sejauh 13 kilometer (km) untuk dikebumikan.

Fenny Tadius berkata, ibu saudaranya yang dikenali sebagai Tanisa sebelum itu mendapat rawatan di sebuah hospital di daerah ini.

Namun selepas beberapa hari menerima rawatan, wanita itu disahkan meninggal dunia dan keluarganya mahu jenazahnya dikebumikan di kampung.

Kompas.com melaporkan, disebabkan ketiadaan van jenazah, keluarga wanita itu meminta bantuan hospital untuk menggunakan ambulans bagi menghantar jenazah ke kampung halaman.

"Kami kecewa apabila hospital tidak mahu menghantar jenazah ibu saudara saya ke kampung untuk dikebumikan.

"Mereka memberi alasan ambulans berkenaan hanya boleh digunakan untuk membawa pesakit bagi mendapatkan rawatan," katanya.

Katanya, tidak mahu terus bertelagah, dia dan beberapa ahli keluarga lain nekad mengusung jenazah ibu saudaranya untuk dibawa pulang ke rumah.

Kejadian ini kemudiannya dirakam dan dimuat naik di Facebook sebelum menjadi tular.

Dalam video berdurasi 25 saat itu, beberapa lelaki dilihat mengusung keranda di tepi jalan raya sambil diperhatikan orang ramai.

Kejadian itu kemudian mendapat perhatian pegawai daerah Mamuju, Sutinah Suharda yang kemudian tampil memohon maaf atas masalah yang berlaku.

Sutinah menyatakan kekesalan apabila hospital masih berkeras untuk tidak membantu menghantar jenazah wanita terbabit di kampung halaman.

Beliau juga turut mengarahkan ambulans boleh digunakan untuk menghantar jenazah sekiranya tiada kes kecemasan lain di hospital.

"Ambulans boleh digunakan untuk menghantar jenazah sekiranya tiada kes kecemasan yang berlaku di hospital," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Ogos 2022 @ 12:37 PM