MASJIDILHARAM. FOTO fail AFP
MASJIDILHARAM. FOTO fail AFP
Agensi

Riyadh: Arab Saudi akan mengenakan denda SR10,000 (RM11,735) ke atas sesiapa yang ditangkap datang menunaikan haji bulan depan tanpa permit.

Gulf News melaporkan, dalam pelaksanaan arahan pengawalseliaan haji, jemaah haji mesti mendapatkan permit daripada agensi berkaitan, kata jurucakap Jabatan Keselamatan Awam Saudi, Sami Al Shuwairekh.

"Sesiapa yang ditangkap tiba (untuk menunaikan haji) tanpa permit, akan dikenakan denda SR10,000," katanya dipetik dalam kenyataan media.

Beliau menggesa rakyat dan ekspatriat supaya mematuhi arahan berkaitan haji.

"Petugas keselamatan akan menjalankan tugas mereka di semua jalan menuju ke Masjidilharam dan Tanah Suci serta di dalamnya untuk menangkap pendatang tanpa izin," tambahnya.

Jemaah haji yang layak tahun ini mestilah berumur di bawah 65 tahun, menerima vaksinasi lengkap Covid-19 dan menunjukkan keputusan ujian PCR negatif, kata pihak berkuasa Saudi.

Arab Saudi berkata, pihaknya membenarkan sejuta jemaah haji dari dalam dan luar kerajaan untuk menunaikan haji tahun ini selepas menyekat ibadah tahunan kepada beberapa ribu umat Islam yang tinggal di dalam negara itu sejak dua tahun lalu akibat wabak Covid-19.

Kira-kira 2.5 juta umat Islam dari seluruh dunia pernah menunaikan haji di Arab Saudi setiap tahun sebelum wabak itu melanda dunia.

Arab Saudi menetapkan kuota haji seramai satu juta jemaah bagi musim 2022, yang mana 85 peratus diperuntukkan kepada jemaah luar negara.

Jumlah sejuta jemaah itu adalah 45 peratus berbanding 2.5 juta orang pada 2019.

Jemaah haji yang dibenarkan pula adalah berusia 65 tahun ke bawah, tiada penyakit kronik, mempunyai sijil vaksinasi Covid-19 dan perlu mengemukakan keputusan negatif ujian PCR dalam tempoh 72 jam daripada masa berlepas.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Jun 2022 @ 9:47 AM