LOKASI MAE Sot. IMEJ Google Maps
LOKASI MAE Sot. IMEJ Google Maps
BERNAMA

Bangkok: Pertempuran sengit di wilayah Kayah, Myanmar yang dilanda konflik memaksa lebih 5,000 orang melarikan diri ke Mae Sot, sebuah bandar sempadan Thailand kira-kira 15 kilometer (km) dari tempat serangan udara dilaporkan berlaku pada petang Khamis lalu.

Bangkok Post memetik gabenor wilayah Tak, Somchai Kitcharoenrungroj sebagai berkata, 5,358 penduduk kampung dari Myanmar menyeberangi Sungai Moei untuk mendapatkan perlindungan di Thailand.

"Pegawai keselamatan turut memberi bantuan kemanusiaan kepada pelarian yang berlindung di daerah Mae Sot dan Phop Phra, dengan mereka yang cedera menerima rawatan," katanya.

Berikutan pertempuran di sepanjang sempadan Thailand-Myanmar, pihak penguat kuasa Thailand juga meningkatkan rondaan dan penguatkuasaan di sepanjang sempadan.

Selain itu, pihak pentadbiran wilayah Tak turut memberi amaran kepada penduduk supaya menjauhkan diri dari sempadan kerana terdapat laporan peluru sesat dan bom tangan dari seberang sempadan di daerah Mae Sot dan Phop Phra.

Terdahulu, Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Hal Ehwal Kemanusiaan dan Penyelaras Bantuan Kecemasan Martin Griffiths pada Ahad berkata, beliau "ngeri" dengan laporan mengenai serangan ke atas orang awam di Myanmar yang mengakibatkan 35 orang terbunuh.

Griffiths merujuk kepada insiden yang dilaporkan berlaku pada Jumaat (24 Disember) di timur negeri Kayah.

Sementara itu, The Border Consortium (TBC), sekumpulan NGO antarabangsa yang menyediakan makanan,

tempat tinggal dan bentuk sokongan lain kepada pelarian di kem di barat Thailand, menyeru kerajaan Thai untuk melindungi dan membantu beribu-ribu orang yang melarikan diri daripada keganasan di Myanmar.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Disember 2021 @ 8:34 AM